Pelakon, Kamal Adli menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas isteri, Uqasha Senrose kerana sudi menerimanya sebagai suami dan menyifatkan perkahwinan mereka sebagai pengalaman berharga dalam hidup.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Mahu Move On, Tiada Istillah Rujuk’ – Uqasha Senrose Doakan Kamal Jadi Insan Bertanggungjawab
‘Terima kasih Uqasha’

Kamal atau nama lengkap Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, berkata dia reda apabila mahligai perkahwinan yang dibina bersama Uqasha hanya bertahan selama empat tahun.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Uqasha kerana pernah sudi menerima saya sebagai suami. Dialah yang banyak mengajar saya tentang kehidupan berumah tangga dan bagaimana menjadi seorang lelaki.
Tambah Kamal, sepanjang tempoh perkahwinan itu, dia banyak belajar perkara baharu termasuk tanggungjawab sebagai bapa.
Sejujurnya, saya memang tiada pengalaman dalam perkahwinan, apatah lagi memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa. Jadi, saya amat menghargai segala yang saya pelajari daripadanya.
Kamal berkata demikian ketika ditemui sejurus melafazkan cerai talak satu terhadap Uqasha di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Isnin.
Dalam masa sama, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu turut mengakui kelemahan diri sebagai antara punca keruntuhan rumah tangga dan meletakkan sepenuhnya kesalahan tersebut ke atas dirinya sendiri.
Saya mohon maaf sekiranya terdapat kekurangan dalam diri saya sehingga membawa kepada situasi ini. Jika saya seorang suami yang lebih baik, mungkin perceraian ini tidak berlaku. Namun, saya reda dengan ketentuan ini.
Saya mohon didoakan agar diberi kekuatan. Kepada keluarga Uqasha juga, saya ingin memohon maaf sekiranya saya gagal menjaga dan membahagiakan dia dengan sebaiknya.
Ditanya mengenai hubungan dengan Uqasha selepas perceraian, Kamal mengakui masih terlalu awal untuk menentukan sama ada mereka mampu mengekalkan hubungan sebagai sahabat.
Terdahulu, Kamal melafazkan cerai talak satu terhadap Uqasha di hadapan Hakim Syarie, Siti Noraini Mohd. Ali pada jam 12.56 tengah hari Isnin.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.
The post ‘Terima Kasih Uqasha Sudi Menerima Saya Sebagai Suami’ – Kamal Adli Letak Kesalahan Atas Bahu Sendiri first appeared on OHBULAN!.





