Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan memanggil pempamer, pengedar dan penerbit filem bagi menyiasat dakwaan mengenai kewujudan kartel, serta isu penguasaan pasaran dalam industri perfileman tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata meskipun tiada aduan rasmi diterima setakat ini, FINAS mengambil langkah proaktif untuk mengumpul maklumat bagi memahami keadaan sebenar yang berlaku dalam industri.
“Secara rasmi, FINAS belum menerima apa-apa aduan, tetapi itu tidak bermakna kita tidak mengambil tahu dan sekarang kita sedang mendapatkan maklumat.
“Kita akan memanggil semua pihak termasuk pawagam, pengedar dan penerbit untuk berbincang serta memahami landskap yang berlaku sekarang,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama dengan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS: Dasar Filem Negara 2026-2035, di Menara FINAS Damansara di Petaling Jaya hari ini.
Azmir berkata kebimbangan utama yang dibangkitkan bukan semata-mata mengenai satu pengedar menguasai keseluruhan pasaran, sebaliknya kemungkinan sesebuah entiti terlibat dalam beberapa peringkat rantaian industri sebagai pengedar, penerbit dan pemilik pawagam.

Beliau berkata setakat ini, semakan mendapati tiada syarikat memiliki ketiga-tiga lesen berkenaan secara serentak, selaras dengan Akta FINAS yang mengehadkan sesebuah syarikat hanya boleh memegang maksimum dua kategori lesen.
Bagaimanapun, Azmir berkata penelitian akan turut meliputi kemungkinan operasi merentas rantaian tersebut, dilakukan menerusi anak syarikat atau entiti perniagaan yang berbeza.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan FINAS menerima makluman daripada seorang penerbit filem Tamil tempatan mengenai kemasukan filem dari India pada saat akhir, yang didakwa menjejaskan jadual tayangan filemnya.
Bagi menangani isu berkenaan, beliau berkata FINAS sedang meneliti mekanisme untuk mewajibkan pemberitahuan awal kemasukan filem antarabangsa, seperti pendekatan di Singapura yang menetapkan pemberitahuan sekurang-kurangnya sebulan sebelum tayangan.
Azmir berkata penyelarasan jadual penting untuk melindungi filem tempatan dalam semua bahasa, termasuk Melayu, Tamil dan Cina, daripada berdepan persaingan secara tiba-tiba dengan filem luar yang menyasarkan kelompok penonton sama.





