Jawapan bertulis "tiada maklumat" daripada kerajaan negeri terhadap tiga soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah mengenai Universiti Selangor (Unisel) bukan disengajakan, sebaliknya berpunca daripada gangguan teknikal sistem e-Sidang.
Demikian kata Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Nazri Noh ketika terhadap kecaman Shafie yang mempersoalkan komitmen pentadbiran negeri menjawab soalan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Sidang kali ini menggunakan sistem e-Sidang buat pertama kali. Bagi soalan, memang Unisel telah hantar jawapan awal. Jawapannya ada dalam sistem e-Sidang. Cuma bila cetak keluar pula 'tiada maklumat'.
"Mungkin ada kesilapan sistem," kata Nazri kepada Malaysiakini.

Katanya, dia sendiri telah menghubungi pejabat Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) bagi mendapatkan kepastian dan jawapan sepatutnya dijawab secara bertulis sebagaimana boleh dilihat dalam e-Sidang.
Sistem e-Sidang adalah platform digital yang digunakan untuk pengurusan dan pendaftaran serta memuat naik dokumen berkaitan persidangan, bertujuan menjadikan urusan dewan lebih cekap.
Terdahulu, Shafie mempertikaikan jawapan bertulis "tiada maklumat" yang diterimanya berkaitan Unisel, institut pengajian tinggi milik kerajaan negeri, dan menyifatkannya sebagai jawapan “pemalas”.
Pemimpin PAS Selangor itu mahu tahu berkaitan promosi Unisel bagi menarik kemasukan pelajar, jumlah pelajar China serta rancangan membentuk satu institusi sebagai pemangkin kepada kemasukan pelajar.
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Saifuddin Shafie turut mengesahkan gangguan teknikal itu.
"Soalan ini memang ada jawapan dan Unisel sudah memberi sejak awal namun apabila kita muat turun daripada e-Sidang ia jadi 'tiada maklumat'," katanya kepada Malaysiakini.

Dia juga menyelar Shafie yang terus membuat kecaman tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pengurusan DUN.
"Macam mana selaku mantan timbalan speaker, Shafie Ngah tidak rujuk dahulu dengan Pejabat Dewan?
"Berbanding menerbitkan kecaman, Adun Sungai Ramal sepatutnya meminta kepastian sebenar daripada pengurusan Dewan.
"Sikap suka membesarkan isu adalah sifat semulajadi pimpinan PAS," katanya kepada Malaysiakini.

Apa sebenarnya jawapan diberikan?
Berdasarkan jawapan bertulis yang dilihat Malaysiakini, Unisel sebenarnya telah memberikan jawapan terperinci kepada tiga soalan yang ditanya oleh Shafie.
Mengenai promosi kemasukan pelajar, Unisel memberitahu bahawa mereka menyatakan pelbagai usaha promosi dijalankan pada 2026 termasuk menyahut insentif 50 peratus subsidi yuran pengajian untuk anak Selangor dan pemastautin.
Antara promosi lain adalah skim pengajian percuma bagi program asas selain program “Gempur SPM” di 50 buah sekolah menengah terpilih dan promosi 50 diskaun diskaun yuran kemasukan pelajar baru.
Sementara, bagi soalan kedua mengenai jumpa pelajar dari China, Unisel menjawab sehingga Julai 2026, Unisel menerima seramai 159 orang pelajar antarabangsa dari negara China.
Bagi soalan ketiga mengenai rancangan Unisel membentuk institusi yang boleh menjadi feeder (penggerak) kepada kemasukan pelajar, IPT itu menjawab belum ada peranancangan ke arah itu.
Namun begitu, jelasnya, Unisel telah mempunyai hubungan kerjasama yang baik dengan sekolah, kolej dan politeknik yang dapat menyediakan laluan kemasukan kepada prospek pelajar ke program-program mereka.





