Sekumpulan Dato Batin serta anak buah dalam jajahan Luak Johol tampil menyatakan rasa kecewa dan marah berhubung cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan Undang Luak Johol.
Dalam satu kenyataan "Sumpah Setia Orang Asli" yang dibacakan dalam satu sidang media hari ini, mereka menggesa supaya tindakan untuk menggulingkan Undang Luak Johol dihentikan segera.
"Kami Dato Batin serta anak buah jajahan Luak Johol berasa marah dan kecewa kenapa Adat Pepatih diperlakukan sebegini.
"Kami mahu mana-mana pihak berhentikan melakukan perkara yang pertentangan dengan adat seperti hendak menggulingkan Dato Undang yang sah serta melantik Dato-Dato Lembaga yang tidak mengikuti aturan adat Luak Johol.
"Kami memberi amaran akan membuat sesuatu untuk memberi pengajaran kepada mana mana pihak yang ingkar dengan amaran Dato Batin dan anak-anak buah kami," kata kenyataan itu yang dibacakan wakil mereka Tok Batin Uyop Sani.
Sokongan Dato Batin ini muncul di tengah-tengah krisis adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan yang belum berakhir.
Kemelut institusi adat Negeri Sembilan tercetus apabila Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu menerima keputusan pemberhentian Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Keputusan itu kemudiannya membawa pertikaian ke mahkamah apabila Mubarak bersama beberapa penyandang Undang dan pembesar adat mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar perkembangan berkenaan.
Selain Mubarak, tindakan tersebut turut membabitkan Undang Luak Jelebu Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tuanku Syed Idrus Al-Qadri serta Dato’ Shahbandar Sungei Ujong Badarudin Abdul Khalid.
Kemuncak krisis itu menyaksikan Undang Yang Empat memasyhurkan Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Pemasyhuran itu berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka.
Bagaimanapun Pengelola Bijaya Diraja Azizi Mohamad Ali berkata pemasyhuran Tunku Nadzaruddin tidak sah selain turut gugur Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan.
Sementara itu, kumpulan Dato Batin berkenaan turut memberi amaran keras akan membuat sesuatu untuk memberi pengajaran kepada mana-mana yang ingkar amaran mereka.
"Tuan-tuan dan puan-puan masih ingatkah satu peristiwa seorang Majistret perempuan di kuala Pilah yang menjatuhkan hukuman penjara seorang orang asli yang tidak mempunyai lesen memandu.
"Anak buah kami merayu supaya tidak diambil tindakan tapi dia berdegil tetap menjatuhkan penjara kepada anak buah kami. Apa terjadi majistret itu terkena busung dan meninggal dunia," katanya lagi.





