Taman Tema Sunway menyatakan pihaknya kini bekerjasama rapat dan memberi kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa berkaitan yang sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai insiden melibatkan satu kejadian di Sunway Lagoon pada Sabtu dan menjejaskan 10 pengunjung.
Mengesahkan insiden berkenaan, syarikat itu turut menzahirkan rasa kekesalan sambil memberitahu bahawa ingatan dan sokongan mereka sentiasa bersama para pengunjung serta keluarga yang terlibat.
"Keselamatan dan kesejahteraan pengunjung merupakan keutamaan tertinggi kami. Sejak insiden berkenaan, tumpuan serta-merta kami adalah pada penjagaan, keperluan perubatan serta kesejahteraan dalam kalangan mereka yang terjejas.
“Kami menyediakan bantuan perubatan dan sokongan yang diperlukan serta sentiasa berhubung rapat dengan para pengunjung dan ahli keluarga mereka," jelas syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Taman Tema Sunway memaklumkan pihaknya juga akan terus memberikan bantuan penuh kepada pihak berkuasa dan sokongan kepada mereka yang terjejas.
"Taman Tema Sunway mengambil maklum dan memandang insiden ini secara amat serius. Kami kekal memberi komitmen teguh untuk mempertahankan piawaian keselamatan tertinggi di seluruh tarikan dan kemudahan kami," tambahnya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat dilaporkan berkata 10 individu mengalami kecederaan ringan dalam satu insiden roller coaster di sebuah taman tema.
Kejadian itu berlaku kira-kira 9 malam pada Sabtu dan laporan polis dibuat pada 11.45 pagi pada Ahad.





