Bekas ketua audit negara, Madinah Mohamad, membantah kritikan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji terhadap Jabatan Audit Negara, dengan menegaskan bahawa auditnya mematuhi piawaian dan mandat yang diperlukan.
FMT melaporkan bahawa Madinah, yang berkhidmat sebagai ketua audit negara dari 2017 hingga 2019, juga berkata dia dan pasukannya tidak menemui "bukti kecurian atau penyelewengan" semasa audit mereka terhadap Tabung Haji.
“Kalau saya dan pasukan saya menemui bukti-bukti tersebut, saya akan mengetengahkan dan pulangkan kepada pihak berwajib.
"Mandat saya sangat jelas,” katanya hari ini ketika tampil sebagai penceramah di Forum Musyawarah Kebangsaan mengenai Tabung Haji di Kuala Lumpur.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perladangan dan Komoditi Noraini Ahmad, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Asyraf Wajdi Dusuki, dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
“Pengauditan dibuat mengikut piawaian, berdasarkan bukti pengauditan sebelum penyata atau sijil dikeluarkan.
"Kami ikut fakta dan bukti, selain berpijak di bumi nyata," kata Madinah dipetik sebagai berkata.
Susulan laporan RCI yang dikeluarkan pada 29 Julai, kabinet mengarahkan siasatan daripada penemuannya disambung semula dengan segera.
SPRM kemudiannya membentuk pasukan petugas khas untuk memeriksa kemungkinan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pemalsuan dokumen dan kesalahan pengubahan wang haram, yang membawa kepada beberapa tangkapan dan permohonan reman.
Polis juga telah membuka lima kertas siasatan dan sehingga 21 Ogos, telah merekodkan kenyataan daripada 127 orang berhubung kes berkaitan TH, termasuk perkara yang dibangkitkan oleh RCI.
RCI, yang laporannya mengenai pengurusan dan operasi TH antara 2014 dan 2020 telah didedahkan kepada umum bulan lalu, telah mengenal pasti kegagalan tadbir urus, campur tangan politik dan amalan perakaunan yang meragukan sebagai antara faktor di sebalik krisis kewangan TH.
Ia juga mengkritik Jabatan Audit Negara kerana tidak menjalankan audit yang lebih ketat terhadap penyata kewangan TH antara 2014 dan 2017.
Antara penemuannya, suruhanjaya itu berkata TH sepatutnya mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.4 bilion pada 2017 jika Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia yang berkenaan telah digunakan sepenuhnya.
Sebaliknya, TH melaporkan keuntungan RM3.4 bilion untuk tahun tersebut - perbezaan hampir RM4.8 bilion.
‘Epal dan oren’
Bagaimanapun, Madinah mempertahankan jabatan itu daripada tanggapan bahawa percanggahan RM4.8 bilion menunjukkan audit telah gagal.
Dia dilaporkan berkata audit Jabatan Audit Negara dan semakan PricewaterhouseCoopers (PwC) berikutnya mempunyai tujuan, terma rujukan dan metodologi yang berbeza, menjadikan perbandingan langsung serupa dengan membandingkan “epal dan oren”.
“Perbezaan dalam metodologi dan pendekatan inilah yang menyebabkan kedua-dua laporan menghasilkan angka yang berbeza,” katanya, seperti dilapor FMT.
Madinah seterusnya berkata percanggahan itu terutamanya melibatkan pengiktirafan dan penilaian rosot nilai aset dan pelaburan, termasuk yang melibatkan anak syarikat dan syarikat bersekutu TH.
Dia berkata Jabatan Audit Negara menjalankan auditnya di bawah Akta Audit 1957 dan Akta Tabung Haji untuk menentukan sama ada penyata kewangan TH memberikan pandangan yang benar dan saksama di bawah piawaian perakaunan yang berkuat kuasa pada masa itu.
Sementara itu, katanya, PwC telah ditugaskan untuk menjalankan semakan yang lebih luas terhadap kedudukan kewangan TH di bawah terma rujukan yang berbeza.
Semakan PwC pada tahun 2017, yang dibentangkan di Parlimen pada Disember 2018, mendapati bahawa TH telah menggunakan simpanan pendeposit untuk membayar hibah.
Ia memetik transaksi yang melibatkan penjualan dan pembelian balik saham Bank Islam, serta dividen yang diisytiharkan oleh anak syarikat TH tetapi tidak dibayar sepenuhnya, yang meningkatkan keuntungan TH yang dilaporkan.
Penemuan itu dibuat di tengah-tengah pendedahan bahawa TH telah membayar hibah walaupun liabilitinya melebihi asetnya, yang dilarang di bawah Akta Tabung Haji.
Semasa persidangan khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos untuk membahaskan laporan suruhanjaya itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan mengapa keterangan Madinah tidak dimasukkan, memandangkan dia merupakan ketua audit negara semasa tempoh yang diteliti.
Madinah kemudiannya berkata dia telah hadir di Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) pada hari yang dijadualkan semasa prosiding RCI tetapi tidak dipanggil untuk memberi kenyataan.
Bernama melaporkan Zahid telah menyokong cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menubuhkan sebuah badan khas bagi menyiasat pengurusan TH dari 2017 hingga kini.
Secara berasingan, FMT memetik Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin, sebagai berkata bahawa cadangan itu akan dibincangkan dengan semua ahli selepas mesyuarat jawatankuasa yang telah dijadualkan di Parlimen esok.





