Kes kematian pelakon Thailand, Tangmo Nida kembali menjadi perhatian apabila tiga individu berprofil tinggi iaitu tampil menyerahkan bukti baharu kepada Jabatan Siasatan Khas (DSI).
Artikel Berkaitan: Kes Kematian Tangmo! Pemilik & Pemandu Bot Mengaku Bersalah
Artikel Berkaitan: Polis Sahkan Tangmo Nida Mati Bukan Dibunuh, 6 Individu Terlibat Didakwa
Banyak bukti dipalsukan?

Ketiga-tiga individu itu merupakan Bekas Ahli Parlimen Thailand, Mongkolkit Suksintharanon, ahli akademik dan aktivis Dr. Panthep Puapongpan serta aktivis sosial Atchariya Ruangrattanapong.
Mereka dilaporkan mengemukakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dokumen serta lebih 1,300 halaman bahan bukti yang didakwa menunjukkan terdapat penyelewengan dan pemalsuan bukti dalam siasatan sebelum ini.
Ketiga-tiga mereka sependapat bahawa Tangmo tidak terjatuh dari bahagian belakang bot seperti yang dilaporkan sebelum ini, selain mendakwa kecederaan yang dialaminya bukan berpunca daripada bilah kipas bot. Mereka turut percaya kes tersebut mempunyai unsur pembunuhan yang cuba disembunyikan.
Menurut Mongkolkit, hasil semakan rakaman CCTV daripada beberapa lokasi mendapati hanya lima individu berada di atas bot pada malam kejadian. Rakaman juga didakwa menunjukkan tiada sesiapa berada di bahagian belakang bot ketika melalui kawasan di bawah Jambatan Sanghi pada perjalanan pulang, sekali gus bercanggah dengan naratif rasmi kes.
Gambar dimanipulasi?

Sementara itu, Dr. Panthep mendakwa tiada lagi gambar Tangmo direkodkan dalam telefon bimbit selepas jam 8.36 malam, menyebabkan dia percaya pelakon itu sudah tidak berada di atas bot selepas waktu tersebut.
Dr. Panthep turut mendakwa beberapa gambar Tangmo bersama Kratik serta data GPS telah dimanipulasi bagi menyokong kronologi tertentu.
Dia juga mempersoalkan imej yang sebelum ini didakwa menunjukkan bayang seseorang terjatuh ke dalam sungai kerana didakwa tidak sepadan dengan hasil analisis.
Dari sudut forensik pula, Dr. Panthep berpendapat kecederaan pada bahagian kaki Tangmo tidak konsisten dengan kecederaan yang lazimnya berlaku akibat terkena bilah kipas bot.
Tangmo tak duduk belakang bot?

Atchariya pula membangkitkan beberapa percanggahan dalam keterangan saksi dan dokumen rasmi berkaitan kes tersebut. Antaranya ialah perbezaan masa yang diberikan saat Tangmo dipercayai terjatuh dari bot.
Dia mendakwa seorang pegawai polis yang bertanggungjawab meneliti rakaman CCTV pernah memberi keterangan di mahkamah bahawa tiada rakaman yang menunjukkan Tangmo terjatuh ke dalam sungai.
Selain itu, Atchariya mempersoalkan perubahan pandangan seorang pakar forensik mengenai punca kecederaan mangsa serta mendakwa terdapat keraguan pada beberapa dokumen rasmi berkaitan proses pengurusan mayat Tangmo.
Difahamkan, laporan polis telah dibuat terhadap dua individu yang berada di atas bot atas dakwaan memalsukan keterangan dan bukti.
Penyerahan bukti baharu ini bertujuan mendesak DSI menyiasat semula kes berkenaan serta mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam usaha menyelewengkan siasatan.
Bagaimanapun, semua dakwaan yang dikemukakan masih memerlukan penelitian dan pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa Thailand.
Sumber: Facebook Basic TH
The post Tak Jatuh Dari Bot Tapi Dibunuh? Kes Kematian Tangmo Nida Kembali Hangat, Wujud Dakwaan Pemalsuan Bukti first appeared on OHBULAN!.





