Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Erling Haaland masing-masing menjaringkan dua gol pada Isnin sekali gus menjadikan perebutan Kasut Emas Piala Dunia kini antara tiga bintang besar bola sepak itu, lapor Xinhua.
Messi, dua hari sebelum hari jadinya yang ke-39, menjaringkan kedua-dua gol dalam kemenangan 2-0 Argentina ke atas Austria di Stadium Dallas, menjadikan rekod gol Piala Dunianya mencecah 18.
Kapten Argentina itu kini mengetuai carta penjaring kejohanan dengan lima gol daripada dua perlawanan.
Beberapa jam kemudian di Philadelphia, Mbappe menyusuli beliau, menjaringkan dua gol ketika Perancis menewaskan Iraq 3-0 meskipun perlawanan ditangguhkan hampir dua jam berikutan ribut petir pada separuh masa pertama.
Kapten Perancis itu, yang membuat penampilan antarabangsa ke-100, meningkat kepada 16 gol Piala Dunia dalam tiga kejohanan, menyamai bekas pemegang rekod Miroslav Klose.
Di Stadium New Jersey, New York, Haaland menjaringkan dua gol ketika Norway menewaskan Senegal 3-2 untuk memastikan tempat ke pusingan 32.
Beraksi dalam Piala Dunia sulungnya, pemain berusia 25 tahun itu kini mempunyai empat gol dalam dua perlawanan, menyamai Mbappe dan satu di belakang Messi dalam kedudukan Kasut Emas.
Mbappe bagaimanapun mengecilkan perbandingan dengan Messi selepas kemenangan Perancis ke atas Iraq.
"Leo sentiasa menjaringkan gol dan akan sentiasa (melakukannya). Jadi saya tidak melihat apa yang beliau sedang lakukan. Saya hanya fokus untuk membantu pasukan saya," kata Mbappe.
Jurulatih Perancis Didier Deschamps berkata kapten pasukannya itu berpeluang untuk mencipta rekod baharu.
"Rekod ada untuk dipecahkan," kata Deschamps, selepas Mbappe menyamai kedudukan dengan bekas pemegang rekod Miroslav Klose dengan 16 gol Piala Dunia.
Haaland muncul sebagai pencabar sebenar dalam perebutan itu. Penampilan terakhir Norway di Piala Dunia ialah pada 1998, dua tahun sebelum Haaland dilahirkan.
Baki perlawanan masih banyak dan pertarungan untuk mendapatkan Kasut Emas masih terbuka luas, dengan Messi, Mbappe dan Haaland sebagai pesaing.





