
Kehilangan tiga insan tersayang yang begitu rapat membuatkan sambutan hari raya penyampai radio, Muaz Mohamed seperti sudah hilang seri dan tidak lagi meriah seperti dahulu.
Hilang tiga insan tersayang

Muaz berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri, dia sentiasa diselubungi perasaan sedih dan emosinya akan terjentik apabila mengenang tiga figura tersebut.
Kenapa raya kali ini tidak sama seperti raya dahulu? Selepas kehilangan bapa, saya ada rasa sudah malas dah nak sambut raya.
Saya kehilangan ayah, pak cik dan saudara. Tiga individu ini antara orang sangat rapat setiap kali pulang ke kampung di Pontian, Johor.
Bukan bermaksud raya sudah tiada makna, mak saya masih hidup. Cuma setiap kali raya saya ingin lari dari kesedihan itu. Dalam dua tahun, saya kehilangan tiga insan tersayang.
Muaz berkongsi perkara itu menerusi hantaran video yang dimuat naik di TikTok Kool FM.
Rumah pusaka

Dalam pada itu, Muaz berkata, setiap kali pulang ke kampung halaman di Pontian, Johor, dia akan terasa seperti tiga figura itu masih ada bersamanya.
Ada satu rumah pusaka yang ditinggalkan di Pontian, sebenarnya sudah tiga tahun saya tak balik sana. Setiap sudut dalam rumah itu ada wajah mereka bertiga.
Kalau saya balik Pontian, ibarat mengenang mereka, terasa ada kelibat mereka. Paling saya ingat di tangga rumah tersebut, kerana selalu bergambar di situ.
Hilangnya generasi terdahulu dan datangnya generasi terbaharu adalah untuk mewarnai keluarga.
Arwah ayah seorang yang positif, dia suka senyum. Kalau balik kampung saudara-mara akan kata saya mewarisi arwah. Saudara kata perangai kami sama.





