Selepas menanti lebih 10 tahun, kumpulan pop-rock tempatan Insomniacks akhirnya bakal merealisasikan impian yang selama ini menjadi antara sasaran terbesar mereka apabila diumumkan sebagai artis pembuka tirai bagi konsert 5 Seconds of Summer (5SOS) yang akan berlangsung selama dua malam pada 17 November dan 4 Disember ini.
Artikel Berkaitan: Insomniacks & Yonnyboii Lancar ‘Bersuara’, Ajak Pendengar Lebih Berani & Lawan Penindasan
Artikel Berkaitan: Selepas Sedekad, 5 Seconds Of Summer Bakal Gegar Kuala Lumpur November Ini!
Banyak persamaan antara 5SOS & Insomniacks

Bagi peminat setia kedua-dua kumpulan ini, perkara sebegini dilihat sebagai satu momen yang cukup bermakna.
Sejak awal kemunculan mereka dalam industri muzik, Insomniacks tidak pernah menyembunyikan hakikat bahawa 5SOS merupakan antara kumpulan yang banyak mempengaruhi arah muzik dan perjalanan seni mereka.
Malah, antara karya cover terawal yang pernah dipersembahkan oleh Insomniacks ialah lagu ‘Broken Home’ dan ‘Amnesia’, yang sehingga kini masih mendapat tempat dalam kalangan peminat.
Menurut penganjur konsert, SAH Entertainment, Sufi Rashid, terdapat banyak persamaan yang menghubungkan kedua-dua kumpulan tersebut, khususnya dari segi gaya muzik, persembahan pentas serta hubungan erat yang dibina bersama peminat.
Ya, saya percaya Insomniacks mempunyai potensi untuk menjadi fenomena tersendiri.
Jika kita lihat perjalanan mereka, karakter, persembahan pentas dan muzik mereka sememangnya mempunyai sedikit sebanyak pengaruh daripada 5 Seconds of Summer.
Malah, ramai peminat Insomniacks membesar dengan muzik 5SOS dan turut menjadi peminat mereka.
Sebab itu saya rasa hubungan antara kedua-duanya sangat organik dan cukup istimewa untuk peminat di Malaysia.
Ketika diminta memilih lagu 5SOS yang paling sesuai diberikan nafas baharu menerusi cover rasmi oleh Insomniacks, Sufi tanpa ragu-ragu memilih ‘Amnesia’.
Tentu sekali ‘Amnesia’ sebab lagu itu antara lagu 5SOS paling hit dan ramai peminat Insomniacks yang ‘relate’ lagu ini dengan mereka.
Insomniacks berpeluang tembusi pasaran antarabangsa

Mengulas mengenai cabaran menghasilkan semula lagu yang sudah mempunyai pengaruh besar di peringkat antarabangsa, Sufi menjelaskan bahawa aspek utama yang perlu diberi perhatian adalah menjaga kualiti karya agar memenuhi jangkaan peminat asal.
Cabarannya bila nak cover lagu daripada artis yang sangat popular adalah untuk pastikan kualiti itu setanding dengan jangkaan peminat mereka.
Bila fanbase artis asal sangat besar, kita kena pastikan mereka boleh menghargai dan menerima cover tersebut.
Tapi dalam kes Insomniacks, mereka benar-benar melakukan tugas yang sangat baik.
Sampai hari ini ramai masih ingat bagaimana mereka mengidolakan 5SOS, dan saya rasa itu antara sebab kenapa hubungan antara Insomniacks dan peminat 5SOS sangat kuat.
Dalam pada itu, Sufi turut berpandangan bahawa karya-karya cover yang pernah dihasilkan oleh Insomniacks berupaya membuka ruang yang lebih luas untuk muzik mereka menembusi pasaran antarabangsa.
Yes, tentu sekali!
Menyentuh mengenai potensi kerjasama antara Insomniacks dan 5SOS pada masa akan datang, dia berharap dapat menyaksikan kumpulan tempatan itu berkongsi kedudukan yang setara dengan idola mereka.
Kalau kolaborasi ini menjadi kenyataan, sudah tentu saya nak tengok Insomniacks berada di atas pentas yang setanding dengan 5SOS.
Mereka ada citarasa muzik yang hampir sama dan saya percaya mereka mempunyai kemampuan untuk berdiri sebaris, malah mungkin mencipta identiti mereka sendiri yang lebih besar.
Yang paling penting, mereka berbakat, humble, jauh daripada kontroversi dan saya rasa itu antara faktor yang boleh membawa mereka lebih jauh dalam industri.
Selain itu, sebagai individu yang membawa kepulangan 5 Seconds of Summer ke Malaysia, Sufi mengakui peluang untuk menampilkan bakat tempatan seperti Insomniacks sebagai artis pembuka tirai sentiasa menjadi antara perkara yang diberi keutamaan.
Yes, tentu sekali! It’s their dream and they deserve it!
Dalam masa sama, Sufi turut berkongsi pandangan kepada mana-mana kumpulan tempatan yang mahu menghasilkan cover lagu antarabangsa tanpa mengabaikan identiti muzik sendiri.
Tak salah untuk jadikan artis antarabangsa sebagai inspirasi dari segi muzik dan persembahan.
Tetapi jangan terlalu mengikut sehingga hilang identiti sendiri.
Pada akhirnya, originality itulah yang akan membezakan anda daripada orang lain.
Dalam kes Insomniacks, walaupun mereka bermula dengan cover lagu 5SOS, mereka tetap berjaya membina identiti mereka sendiri.
Hari ini, orang mengenali mereka bukan sekadar sebagai band yang cover 5SOS, tetapi sebagai sebuah band dengan lagu, gaya, personaliti dan identiti tersendiri.
Di samping itu, peluang membuka tirai konsert 5 Seconds of Summer ini bukan sahaja menjadi satu lagi pencapaian besar dalam karier Insomniacks, malah membuktikan perkembangan mereka sebagai antara kumpulan muzik tempatan yang semakin menyerlah.
Dalam masa sama, ia juga menjadi simbol perjalanan panjang mereka yang bermula sebagai peminat tegar sebelum akhirnya berpeluang berkongsi pentas dengan kumpulan yang menjadi sumber inspirasi utama mereka sejak lebih sedekad lalu.
The post Sedekad Menanti, Insomniacks Akhirnya Capai Impian Buka Tirai Konsert 5 Seconds Of Summer first appeared on OHBULAN!.





