Menjelang beberapa bulan sebelum Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), penyanyi dan komposer, Aina Abdul memaklumkan dia bersama pasukannya sudah mula merangka idea serta konsep persembahan untuk lagu Kamu.
Artikel Berkaitan: Aina Abdul Raih Pujian, Sanggup Berhenti Kereta Tepi Jalan Demi Santuni Peminat Berkerusi Roda
Artikel Berkaitan: ‘Tak Perlu Fikir Mendalam, Memasak Adalah Terapi Saya’ – Aina Abdul Tak Melatah Dengan Komen Netizen
Mahu berikan yang terbaik

Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata, persembahan kali ini bakal menampilkan kelainan berbanding apa yang pernah dibawakan sebelum ini.
Saya dan pasukan baru sahaja bermesyuarat. Idea itu sudah perlahan-lahan masuk ke dalam jiwa kami dan ada konsep yang ingin dipersembahkan.
Untuk AJL kali ini, saya mahu tampil berbeza daripada stigma yang orang selalu kaitkan dengan saya. Mungkin sedikit berlainan daripada apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.
Pada masa sama, saya juga tidak begitu tertekan dan berasa lebih tenang. Sebelum ini apabila masuk pertandingan, sudah tentu ada keinginan untuk menang. Kita manusia, memang ada perasaan itu.
Kali ini saya tidak mahu menipu diri sendiri. Pada saat ini, saya masuk bukan semata-mata untuk bertanding. Sebab itu saya rasa lebih rileks.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Sadis dan Berjauhan-an yang berlangsung di ibu kota, pada Jumaat.
Menurut penyanyi kelahiran Johor itu, ketenangan yang dirasai bukan bermakna dia mengambil mudah persiapan AJL40, sebaliknya dia tetap mahu memberikan persembahan terbaik kepada penonton.
Bukan bermaksud saya tidak membawa apa-apa ke pentas AJL. Kami tetap ada sesuatu yang ingin dipersembahkan, cuma penonton perlu tunggu dan lihat.
Saya sedar saingan tahun ini sangat kuat. Ramai penyanyi muda yang hebat dan berbakat. Jadi saya mahu menikmati perjalanan ini dan memberikan yang terbaik tanpa terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri atau pasukan saya.
Saya cuma mahu memberikan yang terbaik pada malam itu. Saya mahu vokal saya berada dalam keadaan terbaik.
Sebab itu sekarang saya sedang membuat persiapan vokal dan menjaga suara supaya tidak digunakan secara berlebihan. Setiap kali menyertai pertandingan, saya belajar semula bagaimana untuk mempersiapkan vokal mengikut lagu yang dibawakan.
Aina yang bakal membuat penampilan ketujuh berturut-turut di pentas AJL juga mengakui tidak terkesan dengan kritikan atau kecaman yang mungkin diterima sekiranya gagal membawa pulang sebarang trofi.
Saya tidak kisah. Kalau saya menang pun orang kecam, kalau saya tidak menang lagilah orang kecam. Tetapi bagi saya, itu tidak penting.
Yang paling penting, lagu saya berjaya mara ke AJL dan saya dapat menyanyikannya di pentas tersebut. Itu sudah cukup bermakna buat saya.
Untuk rekod, Aina bakal mempertaruhkan lagu ciptaan sepenuhnya sendiri berjudul Kamu di pentas AJL40 yang dijadual berlangsung pada Ogos depan.
Penyanyi itu pernah muncul juara AJL37 menerusi lagu Terus Hidup, meraih tempat kedua menerusi Semalam di AJL34 dan tempat ketiga menerusi Jangan Mati Rasa Itu pada AJL38.
The post AJL40: Aina Abdul Janji Kelainan, Sedang ‘Prep’ Vokal & Tak Fikir Soal Menang – ‘Saingan Tahun Ini Kuat’ first appeared on OHBULAN!.





