GLOBAL | Polis Vietnam mendakwa dua wanita di Hanoi kerana mengimport kira-kira 10,000 tan metrik kaki ayam tercemar bernilai AS$13 juta (RM54 juta) dari negara dengan penyakit ayam dan mengedarkannya ke kedai tempatan.
Vietnam News melaporkan, kedua-dua suspek berusia pertengahan 40-an itu mengimport 339 kontena kaki ayam beku dan sudah menjalankan kegiatan mereka sejak tiga tahun lalu.
Mereka didakwa di ibu negara Vietnam semalam.
Menurut Vietnam News, pihak berkuasa menyerbu dua gudang penyimpanan sejuk dan menemukan lebih 2,000 tan kaki ayam beku, termasuk 260 tan daripadanya sudah tamat tempoh dan dipercayai sedia untuk diedarkan.
Menurut pihak berkuasa, produk untuk diedarkan itu telah tamat tempoh malah berkulat dan berbau busuk..
“Di bawah peruntukan undang-undang, produk ayam yang berasal dari negara yang mempunyai penyakit ayam aktif hanya boleh memasuki negara ini untuk diproses dan dieksport semula dan tidak boleh dijual di dalam negara,” katanya.
Media itu juga melaporkan, tertuduh membuat pengisytiharan kononnya produk yang mereka import itu adalah untuk diproses dan bakal dieksport semula.
Syarikat terbabit juga gagal membayar cukai yang ditetapkan.
Laporan itu juga tidak mendedahkan dari negara mana kaki ayam itu diimport.
Kaki ayam ialah makanan istimewa yang popular di rantau Indochina dan dihidangkan sebagai pembuka selera atau dalam hidangan rebus atau panggang.
Boleh dikatakan setiap kedai makan dari berstatus mewah sehinggalah gerai penjaja mempunyai kaki ayam dalam menu mereka.





