Satu hantaran gambar janaan kecerdasan buatan (AI) di Facebook yang memaparkan pemimpin wanita DAP Johor berbangsa Cina bertudung mencetuskan kecaman daripada pimpinan parti itu.
Mereka berang kerana ciptaan tersebut gambaran seolah-olah DAP mengkhianati komuniti Cina demi meraih sokongan pengundi Melayu-Islam.
Ia menjadi lebih tegang apabila seorang bekas ahli majlis pihak berkuasa tempatan di Johor yang ada kaitan dengan MCA berkongsi imej tersebut.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke kemudian mengecam hantaran itu sebagai sebahagian daripada “permainan kotor” yang didakwa digunakan oleh komponen BN.
“Ini taktik lapuk yang saya rasa masyarakat akan tolak. Dia cuba menggambarkan seolah-olah DAP sekarang ni dah jual prinsip dan maruah.
“Tidak, kita (DAP) parti yang terus mainkan perananan sebagai parti berbilang kaum, kita terus tegas dalam pendirian kita, kita parti untuk semua rakyat Malaysia.

“Pendekatan dan pendirian kita mesti berlandaskan semangat kepelbagaian, ini satu pendirian berterusan DAP, kita tak akan tunduk kepada mana-mana pihak.
“Kalau mereka nak main taktik macam ini, kita akan dedahkan permainan kotor ini,” kata menteri pengangkutan itu kepada media di Johor Jaya, hari ini.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban menegaskan ada pihak tertentu sentiasa cuba memburukkan imej DAP melalui taktik menakut-nakutkan dengan memainkan sentimen berbeza dalam kalangan pelbagai komuniti.
Usah ambil hati sangat
Dalam kalangan masyarakat Cina, kata Loke, MCA cuba menggambarkan seolah-olah DAP ini sekarang dah ‘menjadikan’ semua wanita Cina sebagai Melayu yang memakai pakai tudung bagi menakut-takutkan komuniti terbabit.
Sebalik dalam kalangan masyarakat Melayu pula, katanya, ada pihak yang menuduh kononnya DAP sebuah parti yang bersikap anti-Islam.
“Beginilah taktik mereka (MCA).
“Saya nak tegaskan bahawa DAP ini parti berbilang kaum, untuk semua rakyat Malaysia, ada pelbagai kaum dan agama, jadi kita bukannya anti kepada mana-mana kaum atau agama.
“DAP ini parti untuk semua, prorakyat Malaysia,” jelasnya.
Menyuarakan pandangan sama, Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Syahredzan Johan, mengecam bekas ahli Majlis Perbandaran Pontian itu sebagai “amat menjijikkan dan keji,” sambil mendakwa individu terbabit cuba menggambarkan DAP sebagai “menjual” orang Cina demi sokongan Melayu.
Syahredzan menegaskan tindakan tersebut sebenarnya menyinggung perasaan ramai umat Islam.

Dia yang juga seorang peguam menegaskan bahawa tudung tidak sepatutnya digunakan sebagai “peluru politik” atau alat untuk “memperlekehkan lawan.”
“Adakah ahli MCA begitu terdesak untuk mendapatkan undi Cina di Johor sehingga sanggup merendahkan diri ke tahap ini?” soalnya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Walaupun tangkap layar yang didakwa menunjukkan profil individu berkenaan di laman web Majlis Perbandaran Pontian telah tersebar dalam talian, difahamkan dia tidak lagi menjadi sebahagian daripada ahli majlis tersebut.
Semakan Malaysiakini di laman web majlis itu hari ini mendapati nama individu terbabit tidak tersenarai dalam direktori.
Sementara itu, satu poster yang tular di media sosial turut menyenaraikan dia sebagai ahli majlis bagi penggal 2016-2017, namun hantaran Facebook berkenaan telah dipadam.
Malaysiakini telah menghubungi beberapa pemimpin MCA untuk mendapatkan maklum balas sejak semalam, tetapi masih belum menerima sebarang respons.

Sementara itu, bekas Adun Skudai dari DAP, Dr Boo Cheng Hau, mengingatkan parti itu supaya tidak “terlalu mengambil hati” mana-mana kumpulan etnik, sebaliknya memberi keutamaan kepada usaha berkhidmat kepada rakyat serta kekal mengatasi kontroversi kaum dan agama.
Dia turut menyatakan bahawa tindakan segelintir wanita DAP bukan Islam yang memakai tudung untuk “menghapuskan imej anti-Melayu parti” itu dilihat memakan diri apabila mereka kini menerima kritikan daripada kedua-dua pihak iaitu Melayu dan bukan Melayu.
Menurutnya, bersikap “terlalu defensif dengan cuba menyingkirkan identiti sendiri” bukanlah langkah yang berkesan.
“Kini, sekurang-kurangnya di Johor, umat Islam merasakan agama mereka dipersendakan sebagai alat politik oleh DAP yang majoritinya bukan Melayu, dan pada masa sama, bukan Melayu pula merasakan DAP bersikap hipokrit dalam perjuangan dengan pendirian yang tidak konsisten.
“Pendirian dan strategi saya jelas, kekal menjadi diri sendiri sebagai parti demokrasi sosial dan menyediakan naratif berkesan untuk menangkis fahaman fanatik agama, bukannya terpengaruh dengan naratif konservatif radikal mereka.
“Dengan kata lain, berkhidmatlah kepada rakyat dengan cara kita sendiri,” tulis Boo di Facebook hari ini.





