Kredit: Facebook Program Anak Kita
Isu pelajar berisiko tercicir daripada sistem pendidikan bukanlah perkara baharu di Malaysia. Namun, angka yang dikongsi oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (2024) amat membimbangkan apabila seramai 25,735 calon SPM 2023 (6.5%) tidak layak menerima sijil SPM. Statistik ini menunjukkan masih ramai pelajar yang memerlukan sokongan untuk terus berjaya dalam pendidikan asas.
Menyedari cabaran ini, Kerajaan MADANI tampil dengan inisiatif Program Anak Kita (PAK), satu usaha besar di bawah agenda reformasi pendidikan negara bagi memastikan setiap murid mendapat peluang yang sama untuk belajar dan berjaya.
Komitmen Kerajaan MADANI: RM100 Juta Untuk Pendidikan Holistik
Dilancarkan pada September tahun lalu, PAK merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MoF), diterajui oleh Unit Pantau MADANI bersama Yayasan Hasanah.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi menjayakan program ini. Peruntukan ini disalurkan bagi melaksanakan pelbagai bentuk intervensi termasuk pemulihan pembelajaran dan pecutan akademik menjelang peperiksaan utama seperti SPM.
Program ini dilaksanakan melalui tiga komponen utama iaitu:
- Program 3M (Membaca, Menulis, Mengira) untuk murid sekolah rendah,
- Program SPM untuk pelajar menengah atas, dan
- Program Murid Cicir yang memanfaatkan lebih 83,000 murid di lebih 2,500 sekolah seluruh negara.
PAK (SPM): Bantu pelajar fokus dan capai potensi penuh
Bagi kohort SPM 2025, seramai 20,000 murid dari 929 sekolah seluruh negara terlibat dalam komponen PAK-SPM. Melalui program ini, pelajar dibimbing secara intensif bagi memastikan mereka lulus mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Sejarah, dan Matematik iaitu syarat penting untuk melayakkan diri menerima sijil SPM.
Antara inisiatif yang dijalankan termasuk kelas tuisyen tambahan, sesi bimbingan berfokus, dan Pecutan SPM, yang memberi ruang kepada pelajar untuk mengulang kaji dalam suasana lebih kondusif serta dengan bimbingan rapat daripada guru.
Kisah kejayaan: Dari gagal ke cemerlang
Bagi pelajar SMK Bidor, Nurul Syazwina Rozaidi, penyertaan dalam Program Anak Kita benar-benar mengubah perjalanan akademiknya.
“Dulu saya memang susah nak skor Matematik. Masa PPT, markah saya cuma tiga puluh enam je. Tapi bila dah mula sertai kelas tuisyen di bawah Program Anak Kita, markah saya naik ke enam puluh lapan. Sekarang Alhamdulillah, masih maintain!”
Menurut Nur Alia Husna Mat Ali pula, yang juga pelajar SMK Bidor, selain kelas fizikal, pembelajaran secara maya juga menjadi antara kelebihan utama program ini kerana memberi fleksibiliti kepada pelajar untuk belajar mengikut tempo masing-masing.
“Video pelajaran boleh ulang banyak kali, dan kita boleh tanya cikgu bila-bila. Dalam kelas biasa kadang-kadang bising, ramai orang nak tanya soalan. Tapi bila dalam talian, saya boleh fokus lebih,”
Lebih daripada akademik, fokus kepada kesejahteraan murid

PAK tidak hanya menekankan prestasi akademik semata-mata, tetapi turut memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan pembangunan holistik murid, seiring dengan semangat Pendidikan MADANI yang menekankan nilai empati, tanggungjawab, dan semangat kebersamaan.
Dengan kerjasama erat antara KPM, MoF, Yayasan Hasanah dan Unit Pantau MADANI, Program Anak Kita terus membuktikan bahawa setiap murid berhak diberi peluang kedua untuk belajar, berkembang, dan berjaya.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam sesi perkongsian pelaksanaan PAK di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Nibong bulan lalu, kadar kehadiran murid dalam program intervensi telah melebihi 90 peratus, mencerminkan semangat dan motivasi tinggi dalam kalangan pelajar untuk terus berjaya dalam akademik.
Ia adalah sesuatu yang disifatkan sebagai petanda positif (Sumber: Portal Rasmi Kementerian Kewangan)

The post Program Anak Kita: Usaha Tingkatkan Pencapaian & Semangat Murid Hadapi SPM first appeared on OHBULAN!.





