32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Tiada ampun, Jho Low mesti diseret ke muka pengadilan – pemimpin PKR

    Shopee Sale

    Kerajaan Malaysia digesa memperhebat usaha diplomatik dan perundangan bagi memastikan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dibawa pulang untuk menghadapi proses mahkamah berkaitan skandal 1MDB.

    Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata kelewatan proses membawa pulang individu terbabit terus menimbulkan keresahan rakyat yang mahukan keadilan dilaksanakan tanpa pilih kasih.

    "Saya ingin menyuarakan kebimbangan serta harapan besar rakyat Malaysia agar individu buruan, Jho Low, dapat dibawa pulang ke Malaysia bagi menghadapi proses perundangan berkaitan dakwaan skandal 1MDB.

    "Sekiranya Jho Low berada di Amerika Syarikat, saya menyeru pihak berkuasa Amerika untuk memberi kerjasama penuh kepada Malaysia dan menghantarnya pulang agar beliau dapat menghadapi perbicaraan di mahkamah mengikut lunas undang-undang negara ini," katanya.

    Menurut Sathia, kerajaan perlu meneruskan tekanan diplomatik dan menggunakan semua saluran perundangan antarabangsa termasuk Interpol dan perjanjian ekstradisi dua hala bagi memastikan individu berkaitan dibawa ke muka pengadilan.

    "Pada masa yang sama, kerajaan Malaysia perlu terus memperhebat usaha diplomatik dan perundangan tanpa henti untuk memastikan semua pihak yang berkaitan dibawa ke mukapengadilan.

    “Ini termasuk usaha melalui Interpol, perjanjian ekstradisi dua hala, serta tekanan diplomatik terhadap negara yang didakwa menjadi tempat persembunyian Jho Low.

    "Ini bukan soal politik. Ini soal amanah kepada rakyat. Rakyat tidak meminta layanan istimewa. Rakyat hanya mahu melihat bahawa tiada siapa berada di atas undang-undang," katanya dalam kenyataan media hari ini.

    MENARIK:  Pergolakan India-Pakistan: Malaysia sedia import beras dari negara serantau

    Pada Selasa lalu, Wall Street Journal melaporkan Jho Low memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi menggugurkan pertuduhan jenayah terhadapnya di negara itu.

    Laman web Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat turut menyenaraikan permohonan tertunggak bagi “Pengampunan selepas Tamat Hukuman” atas nama Taek Jho Low yang difailkan tahun ini.

    Bagaimanapun, seorang pegawai Rumah Putih dipetikWSJ berkata permohonan Low itu ketika ini belum berada dalam perhatian pihak Rumah Putih.

    Sathia yang juga ketua cabang PKR Hulu Selangor menegaskan keadilan tidak boleh dipengaruhi kekayaan atau hubungan politik, terutama dalam kes yang dikaitkan dengan wang rakyat.

    "Jika rakyat biasa perlu berdepan undang-undang atas kesalahan kecil, maka individu yang dikaitkan dengan dakwaan melibatkan wang rakyat dalam jumlah besar juga mesti menghadapi proses pengadilan yang sewajarnya.

    "Saya dengan rendah hati tetapi tegas menyatakan bahawa tiada sebarang layanan istimewa atau pengampunan wajar diberikan sebelum proses undang-undang diselesaikan sepenuhnya. Keadilan mesti dilaksanakan secara sama rata tanpa mengira kekayaan, pengaruh atau kedudukan."

    Malaysiakini sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mendapatkan komen lanjut.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah