Perceraian ibu bapa bukan sahaja memberi kesan kepada pasangan, malah turut meninggalkan luka emosi kepada anak-anak.
Keadaan menjadi lebih menyakitkan apabila dalam situasi tersebut, wujud layanan pilih kasih antara adik-beradik sehingga ada anak yang merasa tersisih dan tidak dihargai.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Tak Pernah Bezakan Anak-Anak, Sayang Semua Sama Je’ – Abby Abadi
Artikel Berkaitan: ‘Berdosa Ke Saya Lahirkan Anak?’ – Madammu Kecewa Dituduh Pilih Kasih Terhadap Anak Tiri
Ibu bapa pilih kasih

Sikap pilih kasih boleh memberi impak kepada perkembangan mental dan jiwa anak-anak, lebih-lebih lagi ketika mereka sedang mencuba untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas perceraian ibu bapa.
Berikut adalah beberapa kesan sikap pilih kasih ibu bapa selepas berlaku perceraian:
Menjejaskan hubungan adik-beradik
Dalam keadaan keluarga yang sudah berpecah, anak-anak sering menjadi lebih sensitif terhadap layanan yang diterima daripada ibu atau bapa masing-masing. Apabila seorang anak merasakan adik-beradiknya mendapat lebih perhatian atau keistimewaan, perasaan itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati.
Lama-kelamaan, hubungan yang asalnya rapat boleh menjadi dingin kerana masing-masing membawa perasaan terluka dan tidak adil.
Alami tekanan emosi
Ketika keluarga yang dibina sudah tidak lengkap, anak-anak akan menjadi lebih mudah terkesan dengan perbezaan perhatian yang diberikan oleh ibu atau ayah.
Apabila seorang anak merasakan dirinya kurang disayangi atau sering diketepikan berbanding adik-beradik lain, perasaan sedih dan tertekan semakin meningkat.
Perasaan dibandingkan, diabaikan atau kurang diberi perhatian boleh menyebabkan emosi mereka menjadi tidak stabil.
Memendam perasaan
Memendam perasaan dalam kalangan anak-anak sering berlaku apabila mereka tidak mendapat ruang yang selamat untuk meluahkan emosi yang terbuku.
Dalam situasi keluarga yang sedang melalui perubahan besar, sesetengah anak memilih untuk berdiam diri walaupun sebenarnya mereka sedang berdepan rasa sedih, kecewa dan keliru.
Apabila wujud layanan yang tidak adil antara adik-beradik, perasaan itu menjadi lebih sukar untuk dikongsi. Anak akhirnya menyimpan semuanya sendiri kerana bimbang tidak difahami atau takut menimbulkan konflik, sehingga emosi yang dipendam itu perlahan-lahan memberi kesan kepada diri mereka.
Depresi
Depresi boleh muncul apabila anak-anak berdepan tekanan emosi yang berpanjangan tanpa ruang untuk meluah atau mendapatkan sokongan yang sihat.
Dalam keadaan perceraian ibu bapa, anak-anak akan lebih mudah terkesan dengan layanan yang dirasakan tidak seimbang antara adik-beradik.
Apabila perasaan negatif dipendam terlalu lama, keadaan ini boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan mental. Anak-anak mungkin mula hilang semangat, menjadi murung, serta menarik diri daripada persekitaran sosial.
Anak menjauh dari ibu bapa
Apabila hubungan dalam keluarga menjadi semakin tegang, anak-anak boleh mula mengambil jarak daripada ibu bapa sebagai satu bentuk perlindungan emosi.
Perasaan yang tidak difahami atau sering diabaikan membuatkan mereka memilih untuk tidak terlalu terbuka dalam berkomunikasi.
Keadaan ini boleh menyebabkan hubungan semakin hambar, di mana anak lebih selesa menyimpan masalah sendiri dan kurang melibatkan ibu bapa dalam kehidupan harian mereka. Kemudian, akan wujud jurang emosi yang semakin sukar untuk dirapatkan.
Kesimpulannya, apabila anak membesar dengan rasa tidak konsisten dari segi perhatian dan kasih sayang, mereka mungkin sukar untuk membina hubungan yang sihat serta mempercayai orang lain dengan mudah.
Justeru, apa yang paling penting bukanlah kesempurnaan, tetapi usaha untuk sentiasa berlaku adil, memahami dan memberi rasa dihargai kepada setiap anak.
Sumber: TikTok, Hello Doktor
The post Sikap Pilih Kasih Dalam Keluarga Bercerai Buat Anak Terluka & Jadi Mangsa Emosi Ibu Bapa first appeared on OHBULAN!.





