Program Cahaya Hati 3.0 anjuran One World Muslimah (OWM) di Kota Bharu, Kelantan menerima sambutan amat menggalakkan apabila kesemua tiket berjaya dijual habis, sekali gus ia mencerminkan permintaan tinggi terhadap program pembangunan rohani, khususnya dalam kalangan wanita Muslimah.
Artikel Berkaitan: Gema Raya Putrajaya 2026: Dari Pentas AJL Ke PICC, Barisan Selebriti Gred A Meriahkan Festival!
Artikel Berkaitan: Oki Setiana Dewi, Heliza & Hazwani Helmi Sepentas Di Program Cahaya Hati 1.0, Sebar Sinar Kekuatan Buat Kaum Hawa
Usaha memperkasa wanita

Menurut Pengerusi OWM, Noor Razlina Noor Mohamed, pencapaian tersebut membuktikan wujudnya keperluan mendesak dalam kalangan wanita terhadap pengisian rohani yang berkualiti, khususnya di kawasan Pantai Timur.
Program bertemakan ‘Takdirku Air Mata, Bangkitku Wanita Luar Biasa’ itu disifatkan sebagai wadah penting yang menyentuh emosi serta jiwa para peserta.
Katanya, pemilihan Kota Bharu sebagai destinasi pertama penganjuran OWM bagi tahun 2026 membawa signifikan tersendiri, khususnya dalam usaha memperkasa wanita bermula dari negeri yang sinonim dengan gelaran Serambi Mekah.
Alhamdulillah, sambutan untuk kedua-dua acara amat memberangsangkan.
Khususnya Cahaya Hati 3.0 di Kota Bharu, sambutannya sangat luar jangka sehingga tiket habis terjual.
Ini menunjukkan wanita Muslimah di Pantai Timur benar-benar dahagakan program rohani yang bermakna.
Program yang berlangsung di Hotel Grand Riverview itu turut menampilkan pendakwah tersohor dari Indonesia, iaitu Oki Setiana Dewi, yang dilihat sebagai salah satu tarikan utama kepada kehadiran para peserta.
Noor Razlina memaklumkan, kemunculan Oki Setiana Dewi yang sekian lama dinantikan oleh masyarakat setempat bukan sahaja mendekatkan lagi program tersebut di hati para peserta, malah mengukuhkan hubungan kerjasama strategik yang telah lama terjalin antara OWM dan pendakwah berkenaan.
Pengisian lebih relevan

Berhubung perancangan masa depan, Noor Razalina berkata siri Cahaya Hati akan diteruskan ke negeri-negeri lain secara berperingkat bagi memberi peluang kepada lebih ramai wanita merasai manfaat pengisian rohani tersebut.
Dari segi pemilihan penceramah, OWM sangat menitikberatkan aspek kelayakan, tauliah serta kesesuaian mesej dengan sasaran peserta.
Kami juga mengekalkan keseimbangan dengan menampilkan penceramah dari Malaysia dan Indonesia agar pengisian lebih segar, menyeluruh dan relevan.
Program Cahaya Hati 3.0 turut disemarakkan dengan kehadiran Tokoh Maulidur Rasul 2025, iaitu Sharifah Khasif Syed Badiuzzaman, selain bacaan doa oleh tokoh Al-Quran terkenal, Faridah, serta sesi perkongsian inspirasi oleh Nazirah Abu Bakar.
Dalam ucapannya, Noor Razlina menegaskan bahawa penganjuran Cahaya Hati 3.0 bertujuan menyediakan ruang sokongan kepada wanita yang sedang melalui pelbagai cabaran hidup agar mereka dapat kembali menemui kekuatan diri.
Kami memahami setiap wanita mempunyai cerita tersendiri.
Ada yang sedang bergelut dengan kepahitan takdir, namun kehadiran mereka hari ini membuktikan bahawa air mata bukan titik noktah, sebaliknya pemangkin untuk bangkit menjadi insan yang lebih baik.
Penganjuran Program Cahaya Hati 3.0 turut menerima sokongan daripada Nasrom Premium sebagai penaja utama, selain kerjasama beberapa rakan strategik industri.
Dalam pada itu, program ini juga membuka peluang kepada usahawan wanita bagi mempromosikan produk mereka melalui penyertaan gerai jualan.
Sehubungan itu, OWM merancang penganjuran program berskala sederhana sempena bulan Ramadan dan bulan Aidilfitri akan datang, dengan fokus kepada ketenangan jiwa, pengisian rohani, serta semangat kebersamaan, selaras dengan keberkatan bulan suci tersebut.
The post Penampilan Istimewa Oki Setiana Dewi Tarik Sambutan Luar Biasa, Tiket Cahaya Hati 3.0 Habis Terjual first appeared on OHBULAN!.





