Tertuduh dalam kes membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil pada 2023, Fakhrul Aiman Sajali, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Keputusan itu dibuat selepas panel Mahkamah Rayuan mengambil kira faktor usia tertuduh ketika kejadian, iaitu 20 tahun, selain mempertimbangkan pilihan hukuman di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
“Dengan mengambil kira usia muda perayu ketika kejadian serta kewujudan pilihan di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori, mahkamah dengan ini mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.
“(Dan kami) menggantikannya dengan hukuman penjara maksimum 40 tahun (bermula) dari tarikh tangkapan dan 12 sebatan,” kata panel tiga hakim yang dipengerusikan Azman Abdullah bersama hakim Ahmad Kamal Md Shahid dan Radzi Harun.
Aiman diwakili peguam Muhammad Nor Tamrin, Nurul Syuhada Mohd Subhi dan Nurussaadah Abdul Razak, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik bin Ayob.
Sebelum keputusan dibuat, pihak pembelaan mengemukakan tujuh alasan bagi menyokong rayuan termasuk faktor usia tertuduh ketika kejadian.
Dalam hujahan bertulis, peguam Muhammad Nor berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf menjatuhkan hukuman mati kerana ia disifatkan sebagai “terlalu berat” memandangkan pertuduhan hanya melibatkan satu nyawa.
Beliau turut berhujah bahawa mahkamah sepatutnya mempertimbangkan faktor usia tertuduh di bawah Seksyen 293 Kanun Keseksaan, namun perkara itu tidak diambil kira oleh Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah bahawa keputusan Mahkamah Tinggi adalah tepat kerana peruntukan tersebut tidak terpakai dalam kes ini, selain merujuk kepada kes duluan Public Prosecutor lawan Teh Ah Cheng yang menyatakan bahawa seseorang yang cukup dewasa untuk melakukan jenayah berat juga wajar dikenakan hukuman yang diperuntukkan undang-undang.
Aiman, kini berusia 22 tahun, didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab antara jam 8.30 malam 22 Mei hingga 8 pagi 23 Mei 2023 di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar, Sabak Bernam.
Dia sebelum ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Klang pada 15 Oktober tahun lalu selepas mengaku bersalah.
Hakim Norliza Othman ketika menjatuhkan hukuman itu menyifatkan jenayah berkenaan sebagai kejam dan terancang, justeru wajar dikenakan hukuman mati.
Dalam penghakimannya, dia turut menegaskan bahawa tertuduh bukan membunuh mangsa, malah bayi dalam kandungan berusia 18 minggu turut terkorban.





