
Penyanyi Noraniza Idris mendedahkan pembayaran gaji pekerjanya terjejas berikutan isu perniagaan muruku miliknya dengan sebuah akademi keusahawanan.
Lewat bayar gaji pekerja

Ketika ditemui , Noraniza mengakui dia terpaksa menangguhkan bayaran gaji pekerjanya selama sebulan susulan didakwa menjadi mangsa penganiayaan akademi berkenaan.
Kos kita banyak dihabiskan dengan akademi ini dan apabila berlaku begini maka berlaku ada masalah kewangan sebab kita tak buat sebarang pinjaman.
Memang ada lewat bayar gaji pekerja, tetapi mereka memahami pendapatan kita tidak tinggi. Gaji pekerja cecah sehingga RM30,000 ke RM40,000, itu belum lagi perbelanjaan bulanan. Banyak kerugian yang kami tanggung.
Justeru, penyanyi berusia 57 tahun tersebut terpaksa menggunakan wang peribadinya untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
Itu perkara biasa (menggunakan wang peribadi) bahkan wang persembahan saya juga digunakan, asalkan kebajikan staf terjaga dan kilang tidak tergadai.
Kumpul duit sendiri dan anak-anak untuk bayar. Kami pernah terlewat sebulan untuk buat pembayaran gaji. Tapi Alhamdulillah, pembayaran pun sudah beransur selesai dibayar sejak November lalu.
Noraniza berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa StarVendors di Ruang Rama Event Space, Petaling Jaya pada Rabu.
Harap selesai

Sementara itu, pelantun lagu Hati Kama itu berharap agak pihak akademi terbabit memberikan kerjasama sepenuhnya untuk menyelesaikan isu tersebut.
Kalau ikut saya, saya tak mahu panjangkan hingga ke mahkamah, biarlah dia selesaikan dan beri kerjasama sekiranya dipanggil oleh pihak polis. Saya pun bersedia untuk berdepan dengan dia.
Saya selalu bersangka baik, ketika menandatangani kontrak semuanya betul tetapi mengapa dia melanggar.
Saya masih beri peluang untuk kita berbincang menyelesaikan masalah yang terhenti semenjak Mei tahun lepas.
Nak pulangkan barang semuanya sudah habis, saya cuma mahu dia pulangkan bayaran yang telah dijanjikan.
Terdahulu, Noraniza mendakwa dirinya dianaiya sebuah akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM630,000 dan kemudian tampil membuat laporan polis.
Difahamkan, akademi terbabit menawarkan peluang di platform mereka untuk penjualan produk makanan iaitu muruku yang diusahakan oleh Noraniza.





