Salah satu label di bawah naungan syarikat rakaman Universal Music Malaysia iaitu EMI Music Malaysia hari ini menyerahkan royalti kepada ahli keluarga penyanyi tersohor negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arsyad.
Artikel Berkaitan: 31 Tahun Berlalu, Arwah Sudirman Tetap Dalam Kenangan
Penyerahan royalti

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim memaklumkan, pihaknya mengambil masa kira-kira dua tahun untuk menyelesaikan beberapa perkara berhubung royalti penyanyi legenda itu.
Ketika Sudirman di bawah EMI Music Malaysia, saya rasa ada beberapa lagu yang turut dimasukkan dan diedarkan melalui Warner Music Malaysia.
Sebab itu kita mengambil masa hampir dua tahun untuk menguruskan semua penyata royalti. Bersama Atai, kita juga mendapatkan pihak yang menjalankan audit terhadap akaun berkenaan.
Di bawah kontrak Sudirman dahulu, banyak perkara dalam kontrak yang kurang jelas.
Menurut Kim, pihaknya kini menguruskan perihal berkaitan karya-karya milik Allahyarham Sudirman dan perjanjian baharu, susulan kontrak bersama EMI Music Malaysia sudah tamat.
Kontrak Sudirman bersama EMI Music Malaysia sepatutnya sudah tamat kerana setiap kontrak mempunyai tempoh yang ditetapkan.
Jadi, kita memperbaharui kontrak baharu. Kontrak itu merangkumi royalti digital dan perkara-perkara lain berkaitan penggunaan karya pada masa kini termasuk royalti yang akan diterima keluarga.
Kim berkata demikian ketika ditemui pada sidang media penghargaan legasi Datuk Sudirman Hj. Arshad di Odean, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Visi kerjasama

Pada majlis tersebut, ahli keluarga kepada Allahyarham Sudirman menerusi Sudirman Asset Management menerima royalti sebanyak RM 367,305.19.
Sementara itu, wakil keluarga dan anak saudara kepada Allahyarham Sudirman iaitu Razman Azrai Zainuddin atau mesra di sapa Atai berkata, persetujuan dan kerjasama dengan Universal Music Malaysia terjalin selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan.
Setelah kita mengenali apa visi mereka untuk bekerjasama dan sebagainya, kami keluarga berpendapat yang memang sepatutnya kita bekerjasama dengan Universal Music Malaysia.
Perkara ini mengambil masa beberapa tahun. Hal ini kerana bukan saya seorang yang menguruskan tentangnya.
Saya perlu berbincang bersama waris, peguam dan pihak-pihak tertentu serta Universal Music Malaysia.
Majlis yang berlangsung itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, bekas Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman, Pengarah Kanan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, penulis lirik, Datuk Habsah Hassan dan pengacara, Datuk Aznil Nawawi.
Majlis penyerahan royalti tersebut turut mencerminkan usaha berterusan EMI Music Malaysia dalam memelihara dan menguruskan katalog muzik Allahyarham Sudirman agar terus relevan dan dapat dinikmati oleh generasi masa kini serta akan datang.
Sebagai antara artis rakaman paling berpengaruh di Malaysia, karya-karya Allahyarham Sudirman sebelum ini diterbitkan di bawah EMI Records, yang kini merupakan sebahagian daripada Universal Music Group.
Sehubungan itu, EMI Music Malaysia terus menguruskan katalog muzik beliau termasuk aspek pendigitalan, pemulihan audio, penerbitan semula karya-karya ikonik serta peluang pelesenan bagi memastikan legasi seni beliau terus berkembang dalam era digital.
The post Legasi Terus Dipelihara, Waris Allahyarham Sudirman Terima Royalti Lebih RM360k first appeared on OHBULAN!.





