Siasatan serantau yang menggabungkan laporan Malaysiakini mengenai ledakan pusat data di Malaysia bersama liputan dari seluruh Asia memenangi Anugerah Society of Publishers in Asia (Sopa) 2026 bagi Kecemerlangan dalam Pelaporan Alam Sekitar bagi kategori Serantau/Tempatan.
Anugerah itu diberikan kepada “Dark Side of the Boom”, laporan khas secara kerjasama diketuai Earth Journalism Network (EJN) di bawah Internews, yang mendedahkan kos alam sekitar dan sosial yang tersembunyi di sebalik teknologi digital yang menggunakan sumber secara intensif, termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), pusat data dan infrastruktur digital lain di seluruh rantau ini.
Diselaraskan oleh Sam Schramski dengan kerjasama SourceMaterial dan AI Accountability Initiative di bawah Pulitzer Center, projek itu menghimpunkan wartawan daripada 14 organisasi media merentasi 11 negara dan wilayah di Asia.
Laporan khas Malaysiakini bertajuk “Inside Malaysia’s Data Centre Boom”, yang pertama kali diterbitkan pada 10 Nov tahun lalu, merupakan antara laporan yang dipaparkan dalam projek tersebut.
Laporan video itu dihasilkan oleh pasukan KiniTV yang terdiri daripada Vivian Yap Wei Wen, Phung Yie Wen, Yap Si Err, Faidzal Mohtar, Camelia Nor Azlan dan Koh Kok Yong.
Laporan berkenaan meneliti perkembangan pesat pusat data di Malaysia serta tekanan yang mungkin dikenakan terhadap bekalan elektrik, peranancangan tenaga boleh diperbaharui dan pengawasan kawal selia.
Melalui analisis dasar, temu bual pakar dan laporan lapangan, laporan itu turut meneliti pihak yang mendapat manfaat daripada ledakan digital tersebut serta pihak yang menanggung kos alam sekitar dan sosialnya.
Panel hakim Sopa mengiktiraf “Dark Side of the Boom” atas aspek penyusunan, penyelidikan, kerjasama rentas sempadan serta pelaporan mengenai isu global yang mempunyai kepentingan serantau.
Menurut hakim, siri laporan itu berjaya menggabungkan “orang sebenar, data yang disahkan, visual kreatif dan penulisan yang kukuh” menjadi satu karya kewartawanan yang memberi impak.
Penghargaan khas dalam kategori sama diberikan kepada Mongabay.com manakala Davao Today disenaraikan sebagai finalis.
Anugerah Society of Publishers in Asia merupakan antara pengiktirafan kewartawanan paling berprestij di rantau ini, yang mengiktiraf kecemerlangan dalam pelaporan, kewartawanan perkhidmatan awam dan inovasi dalam liputan berita.
Secara berasingan, Anugerah One World Media 2026 turut memberikan Penghargaan Khas kepada laporan “Inside Malaysia’s Data Centre Boom” terbitan Malaysiakini dalam kategori Pelaporan Alam Sekitar.
Sejak diterbitkan, laporan pusat data Malaysiakini itu turut menjadi rujukan dalam pelbagai perbincangan awam, termasuk festival media sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia bulan lalu.





