Permaidani kuning dibentangkan bagi menyambut ketibaan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar ketika dia berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Dato' Undang Luak Jelebu hari ini.
Suasana penuh istiadat itu turut disertai bacaan doa khas dalam khutbah Jumaat buat Tunku Nadzaruddin yang dipertikaikan pemasyhurannya sebagai pengganti kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanky Munawir.
Berdasarkan video yang dikongsikan peguam kepada Undang Luak Jelebu, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz kepada Malaysiakini, dia mengesahkan imam masjid berkenaan mendoakan Tunku Nadzaruddin sebagaimana sabda arahan Undang Yang Empat.
"Ya," katanya ringkas mengesahkan kehadiran Tunku Nadzaruddin ke masjid berkenaan.

Perkongsian di Facebook Nordanial Hamzah pula menunjukkan Tunku Nadzaruddin disambut dengan penuh hormat oleh Undang Luak Jelebu serta kakitangan pejabat dan dewan undang yang mengenakan pakaian istiadat berwarna hitam.
Doa dalam khutbah itu selaras dengan arahan yang dikeluarkan Undang Yang Empat sebelum ini supaya masjid-masjid di dalam kawasan Luak Sungai Ujong, Luak Jelebu, Luak Johol, Luak Rembau dan Wilayah Tampin mendoakan Tunku Nadzaruddin dalam khutbah Jumaat susulan pemasyhurannya pada 5 Jun lalu sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Sabda arahan itu dikeluarkan Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin kepada Mufti Negeri Sembilan, Faudzinaim Badaruddin bertarikh 9 Jun lalu.
Berdasarkan surat yang dihantar kepada mufti, arahan berkenaan membabitkan masjid-masjid dalam kawasan Luak Sungai Ujong, Luak Jelebu, Luak Johol, Luak Rembau dan Wilayah Tampin.

"Oleh yang demikian, berdasarkan kepada Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan serta prerogatif kami selaku Ketua Agama dalam Luak dan Wilayah kami, maka dengan ini mensabdakan untuk YB Sahibus Samahah mengarahkan Kadi-Kadi dalam Luak dan Wilayah kami untuk mendoakan DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 dalam khutbah kedua solat Jumaat berkuatkuasa serta merta.
"Kerjasama serta perhatian YB Sahibus Samahah dalam perkara ini amatlah kami hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih jua. Sekian," kata surat berkenaan.
Mufti Faudzinaim mengesahkan surat berkenaan dihantar ke pejabat Mufti Negeri Sembilan.
Bagaimanapun dia berkata perkara itu di luar bidang kuasanya, sebaliknya ia di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan.

Pada 5 Jun lalu, Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada satu majlis ringkas yang berlangsung di sebuah resort di Melaka.
Pemasyhuran berkenaan diisytiharkan oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
Bagaimanapun, Pengelola Bijaya Diraja Azizi Mohamad Ali kemudian mengumumkan istiadat pemasyhuran itu tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.
Dia berkata tindakan Tunku Nadzaruddin itu dengan sendirinya juga telah melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandangnya.

Pertikaian takhta Negeri Sembilan yang sedang berlangsung mula mendapat sorotan umum apabila para undang luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Walaupun barisan Undang Yang Empat mempunyai kuasa sedemikian, keadaan menjadi rumit apabila salah seorang daripada Undang Yang Empat iaitu Undang Sungei Ujong, Mubarak Dohak diumumkan sudah dipecat.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Aminuddin Harun yang mendakwa penyingkiran Yang di-Pertuan Besar tidak diiktiraf kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 UUTKNS 1959.
Bagaimanapun, soal pemecatan Mubarak juga dipertikaikan kerana punca kuasa pemecatan dikatakan adalah tidak sah.

Kemudian, empat pembesar adat Negeri Sembilan membawa kerajaan negeri ke mahkamah bagi memohon perintah supaya kerajaan negeri serta Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan mendedahkan minit mesyuarat bertarikh 17 April.
Permohonan itu berkait dengan sidang khas dewan berkenaan, yang didakwa telah mencapai keputusan sebulat suara untuk meluluskan pemecatan Undang Luak Sungai Ujong, Mubarak Thahak.
Plaintif terdiri daripada Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad; Muhammad Abdullah (Johol); Abd Rahim Yassin (Rembau); dan Mubarak sendiri, bersama Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong, Badarudin Abdul Khalid.
Sidang Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April itu menjadi titik penting dalam pertikaian takhta yang sedang berlangsung, yang menyaksikan tindakan balas pembesar-pembesar berkenaan memecat Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun lalu membenarkan injunksi sementara bagi mengekalkan status quo dalam krisis diraja Negeri Sembilan.
Hakim Roz Mawar Rozain memberikan injunksi sementara yang dimohon oleh dua defendan pertama, iaitu Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta setiausaha DKU Raja Norazli Raja Nordi
Perintah itu menghalang plaintif daripada mengadakan mesyuarat atau membuat keputusan tertentu, termasuk mengganggu tugas Raja Norazli sebagai setiausaha DKU.
Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berpendapat pendekatan rundingan lebih sesuai bagi menyelesaikan krisis takhta itu berbanding membawa perkara berkenaan ke mahkamah, selain menegaskan kepentingan untuk menghormati Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 5 Jun lalu memaklumkan Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di negara ini.
Anwar berkata meskipun Kerajaan Persekutuan tidak terlibat secara langsung dalam isu berkaitan kedudukan pemerintahan Negeri Sembilan, kemuliaan institusi diraja mesti kekal dipertahankan dan perlu melalui setiap kaedah serta peraturannya.





