ULASAN SUKAN | Legenda bola sepak dari Portugal, Cristiano Ronaldo, dipalit detik kecewa kelmarin manakala seorang lagi ikon dunia, Lionel Messi, meniti permulaan terbaik dalam aksi perlawanan pembukaan Piala Dunia.
Hal itu kerana pasukan diketuai Ronaldo menerima kejutan apabila sekadar seri 1-1 ketika menentang wakil Afrika yang kembali semula ke pentas terbesar dunia selepas menyepi 52 tahun – DR Congo.
Sebaliknya, Messi yang bakal berusia 39 tahun pada Rabu ini ceria selepas mencipta hatrik untuk membantu juara bertahan, Argentina, menyimpul kemas takdir ke atas Algeria dengan 3-0.
Kelibat bintang Perancis, Kylian Mbappe, dan Erling Haaland (Norway) yang masing-masing sudah menjaringkan dua gol ketika menentang Senegal dan Iraq turut memberikan tekanan tambahan kepada Ronaldo.
Sebenarnya, sebelum pertandingan terbesar dunia ini mahu bermula, ramai peminat global menyebut-menyebut betapa Ronaldo, 41, mungkin akan mengikut jejak langkah Messi untuk menjulang trofi Piala Dunia 2026.
Bagi mereka, dia – yang menjadi termahal dunia sekarang – berhak mendapat pengiktirafan tersebut atas sumbangan dan pengorbanannya tanpa mengenal penat lelah.
Namun pada saat ini, impian berkenaan masih penuh ranjau.
Messi melakar gemilang di bumi Qatar pada 2022. Ketika itu ramai beranggapan ia adalah penutup sempurna bagi kerjaya antarabangsa penyerang berkenaan.
Tapi, dengan tiga gol di Kansas City tempoh hari, selera bintang tersohor nampak seakan-akan sama seperti ditonjolkan empat tahun lalu.
Gembira setakat ini
Jika Argentina mampu mempertahankan mahkota buat kali kedua berturut-turut, bererti dia juga sah akan mengatasi gemilang dilakar seorang lagi legenda senegaranya, Diego Maradona, yang memenangi kejuaraan Piala Dunia 1986 di Mexico.
Secara berseloroh, ramai juga yang menyebut Messi kini beraksi di ‘negara keduanya’. Hal itu kerana ketika ini dia beraksi untuk kelab Inter Miami di AS sejak 2023 dan sudah serasi dengan tempat berkenaan.
Statistik bersama kelab baru itu juga mengagumkan. Messi sudah meledakkan 62 gol daripada 67 penampilan.
Nampaknya, jaringan hatrik mengatasi Algeria tempoh hari sekadar menggariskan hakikat betapa prestasi lamanya itu masih kekal.

Pada saat ini, Messi memang harus gembira dengan persembahannya dan rakan sepasukan lain.
Wajah Ronaldo pula agak berlainan selepas Portugal diikat DR Congo. Dia kelihatan memendam rasa serba salah dan buntu.
Pemain yang popular dengan panggilan CR7 itu cuma melakukan 25 sentuhan bola dan dua kali percubaan. Difahamkan itu adalah rekod terendah dalam satu perlawanan besar bagi aksi 90 minit.
Apakah kepincangan itu akan mengubah fikiran pengurus pasukan, Roberto Martinez, sama ada mahu menggunakan khidmat Ronaldo dalam perlawanan kedua menentang Uzbekistan pada 24 Jun ini atau sebaliknya.
Mungkin nama hanyut
Rasa penuh kehampaan akan amat dirasai Ronaldo jika dia gagal sekali lagi memacu Portugal merampas mahkota kejuaraan itu daripada Argentina. Ia juga bererti dia mungkin akan disebut pemain ikon kedua terbaik selepas Messi.
Agak sukar baginya menunggu sehingga edisi akan datang untuk menebus kehampaan. Dia akan berusia 45 tahun pada 2030.
Kebetulan juga Portugal akan menjadi tuan rumah bersama Maghribi pada tahun berkenaan.
Kenapa mahu tunggu lama? Mahu atau tidak, Ronaldo mesti mencari ilham untuk menang Piala Dunia tahun ini.
Justeru dia memerlukan bantuan besar daripada rakan sepasukan bagi melonjakkan namanya agar dikenang selaku pemain terbaik dunia sepanjang zaman.

Apa saja pencapaian selain itu akan menyebabkan Messi memiliki gelaran tersebut, manakala Ronaldo ‘hanyut’ dari dewan kemasyhuran Fifa.
Kelmarin, keberadaan Ronaldo semacam tidak dirasai di atas padang Stadium Houston, Texas. Jutaan peminat berkecuali merentasi global tidak hampa Portugal seri, tetapi mereka lebih mengeluh: “Kenapa Ronaldo tidak menang?”
Kalau boleh kita mahu melihat Ronaldo men julang piala terhebat itu pada hari terakhir kejohanan di Stadium New Jersey, New York, 20 Julai ini. Ia pasti menjadi tajuk utama bagi tatapan komuniti bola sepak.
Selain ‘cerita epik’ mengenai Messi dan Ronaldo yang sudah membuat enam penampilan dalam kancah Piala Dunia, beberapa keputusan lain turut mewarnai perlawanan awal peringkat kumpulan.
Nama Cape Verde masih segar dalam minda kita. Wakil dari benua Afrika itu bertuah mendapat pentas terbaik untuk memperkenalkan diri kepada dunia – dan mereka melakukannya dengan penuh bergaya.
Air mata mengalir
Skuad kerdil itu membuat kejutan besar apabila seri menjadikan juara Eropah, Sepanyol, buntu daripada mencipta kemenangan dalam saingan pembukaan Kumpulan H di Stadium Atlanta, kelmarin.
Skuad digelar Blue Sharks itu memang bertuah memiliki Vozinha, seorang penjaga gol berusia 40 tahun. Jelas dia menjadi watak utama dan terpenting untuk mengecewakan pihak lawan.
Pemain yang beraksi dalam liga divisyen dua di Portugal itu adalah bayangan ngeri buat Sepanyol apabila dia seolah-olah berada di mana-mana saja untuk mempertahankan setiap inci ruang gawang.
Dia melentingkan badan menampan bola, kemudian bangkit menumbuk bola keluar dari zon bahaya. Dia berjaya melakukan apa saja yang perlu sebagai penjaga gol.
Sejurus selepas perlawanan berakhir Vozinha kelihatan menangis berseorangan.
Dia sedih kerana datuk dan nenek yang membesarkannya sejak kecil tidak dapat melihat perlawanan berkenaan. Kedua-dua mereka sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Mungkin akan ada banyak lagi babak menarik menyusul dalam pentas Piala Dunia yang buat pertama kali melibatkan penyertaan 48 negara ini.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





