Penyanyi, Elica Paujin tampil bersuara selepas namanya hangat diperkatakan di media sosial apabila ada pihak yang mendakwa karier seninya tidak begitu menyerlah meskipun pernah memenangi beberapa pertandingan nyanyian.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Tengku Muda Pahang Puji Nyanyian Elica Paujin Di Konsert Govinda Hal Hebat – ‘Your Pitching Is Super Great…’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Lagu ‘Oh Huminodun’ Nyanyian Elica Paujin Berjaya Masuk Carta Preview Muzik Muzik 39, Peminat Teruja & Sepakat Nak Undi
Tidak menyerlah?

Menerusi satu hantaran di Threads, Elica, 26, berkata dia melihat perkara tersebut dari sudut yang lebih positif dengan mengingatkan orang ramai bahawa setiap individu mempunyai perjalanan hidup dan rezeki yang berbeza.
Setiap orang mempunyai perjalanan, rezeki dan waktu yang berbeza. Kehidupan ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan membandingkan diri dengan orang lain. Sebaliknya, raikan setiap pencapaian dan hargailah setiap nikmat yang dikurniakan.
Pelantun lagu Oh Huminodun itu turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa bersangka baik berbanding gemar membuat perbandingan terhadap kehidupan atau pencapaian orang lain.
Semoga Tuhan mengurniakan hati yang sentiasa bersyukur daripada suka membandingkan, memilih kebaikan daripada menghukum, serta dipenuhi ketenangan daripada dibelenggu perkara-perkara negatif.
Dalam pada itu, Elica turut membalas komen seorang pengguna media sosial yang mendakwa dia tidak mengembangkan bakatnya secara meluas dan hanya memberi tumpuan di negeri kelahirannya, Sabah.
Menurut Elica, tanggapan tersebut tidak tepat kerana dia sentiasa berusaha memanfaatkan setiap peluang yang hadir tanpa mengira lokasi.
Awak nampak saya berada di mana-mana ya? Jika mengikuti perjalanan saya dari awal, awak pasti akan faham mengapa.
Bagi saya, ini bukan soal memilih satu negeri atau kawasan berbanding yang lain. Saya cuma berusaha memanfaatkan setiap peluang yang hadir.
Malah, jika diberi peluang untuk berada di setiap pelosok Malaysia, saya pasti akan lakukannya. Saya masih berusaha dan terus bekerja keras untuk sampai ke tahap itu.
Saya amat menghargai sokongan semua rakyat Malaysia tanpa mengira negeri atau daerah. Saya tidak akan pernah melupakan kasih sayang dan sokongan yang saya terima dari seluruh negara sejak BS (Big Stage) sehingga hari ini.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai apabila netizen mula membincangkan semula perjalanan seni Elica selepas menjuarai program Big Stage musim keempat.
Terdahulu, sebahagian pengguna media sosial membandingkan pencapaian Elica dengan penyanyi lain yang lahir daripada program sama termasuk penyanyi Aisha Retno yang meraih tempat ketiga tetapi dilihat lebih aktif dan menonjol dalam arus perdana industri muzik tempatan.
Bagaimanapun, ramai peminat tampil mempertahankan Elica dengan menyifatkan penyanyi berasal dari Sabah itu mempunyai identiti tersendiri, selain memiliki vokal yang kuat dan potensi besar untuk terus berkembang dalam industri hiburan tanah air.
Sumber: Threads
The post Jadi Juara Tapi Karier Seni Tak Serancak Aisha Retno? Elica Paujin Pesan Jangan Banding Rezeki – ‘Saya Masih Kerja Keras’ first appeared on OHBULAN!.





