Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal dalam permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku dan menyita dua akaun bank parti itu.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman yang kini Hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan difailkan oleh Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya atas kapasitinya selaku pegawai awam Bersatu dan presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam keputusan yang disampaikan dalam prosiding menerusi aplikasi Zoom, Aliza berkata mahkamah berpuas hati bahawa pemohon gagal membuktikan keputusan, tindakan atau kecuaian responden dipengaruhi unsur di luar luasa, ketidaksahan, kecacatan prosedur, tidak rasional, berniat jahat, pelanggaran jangkaan sah atau penyalahgunaan kuasa
Mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos.
Muhammad Suhaimi dan Muhyiddin memfailkan permohonan itu pada 29 Mac 2023 dengan menamakan SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu Tan Sri Azam Baki, kerajaan serta 17 yang lain selaku responden.
Dalam penghakimannya, Aliza berkata pihak responden berhujah bahawa akaun bank berkenaan telah menjadi subjek dalam pertuduhan jenayah terhadap Muhyiddin selaku presiden Bersatu.
“Ia merupakan satu fakta bahawa setakat hari ini, perbicaraan terhadap Tan Sri Muhyiddin atas pertuduhan jenayah telah pun bermula di Mahkamah Tinggi Khas Rasuah,” katanya.
Aliza berkata perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 12 dan 13 Jan 2023 bertujuan menghalang wang dalam akaun yang disiasat daripada dilupuskan.
“Saya berpuas hati siasatan berhubung aktiviti menyalahi undang-undang telah dimulakan terhadap Tan Sri Muhyiddin atas kapasiti beliau selaku presiden Bersatu dan telah didakwa atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
“Kesalahan didakwa dilakukan Tan Sri Muhyiddin melibatkan akaun bank iaitu Bersatu adalah pemegang akaun berkenaan. Sehubungan dengan itu, keputusan untuk mengeluarkan perintah pembekuan terhadap akaun bank terbabit adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 44(1) AMLA,” katanya.
Mengenai tindakan Muhyiddin mencabar larangan perjalanan beliau, Aliza berkata Muhyiddin berhujah pengenaan larangan itu tidak wajar memandangkan beliau tidak pernah dikenakan sebarang perintah pembekuan, sedangkan perintah terbabit dikeluarkan terhadap Bersatu.
Hakim itu berkata perenggan 44(4)(c) AMLA memperuntukkan bahawa sesuatu perintah pembekuan boleh mengarahkan mana-mana individu yang dinamakan atau diperihalkan dalam perintah itu supaya tidak meninggalkan atau dibenarkan meninggalkan Malaysia, serta menyerahkan apa-apa dokumen perjalanan kepada Ketua Pengarah Imigresen dalam tempoh satu minggu selepas perintah itu diserahkan.
Aliza berkata meskipun benar perintah pembekuan dalam kes berkenaan tidak mengandungi sebarang arahan bahawa Muhyiddin tidak boleh atau tidak dibenarkan meninggalkan negara ini, bukti menunjukkan bahawa SPRM telah mengutus surat kepada Jabatan Imigresen pada 3 Mac 2023 bagi memohon supaya larangan perjalanan dikenakan terhadap Muhyiddin bermula dari tarikh tersebut.
“Saya menerima bahawa SPRM dibenarkan berbuat demikian bagi memastikan proses siasatan jenayah dapat dijalankan tanpa sebarang halangan,” katanya.
Bersatu mendakwa akaun CIMB dan Ambank parti itu telah disita pada 2023 tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Bersatu mendakwa perintah pembekuan berkenaan adalah salah, terbatal dan tidak sah akibat tidak berperlembagaan, tidak sah di sisi undang-undang, kecacatan prosedur, tidak rasional, berniat jahat, penyalahgunaan proses dan penyalahgunaan kuasa oleh SPRM serta pegawai-pegawainya.
Berhubung larangan perjalanan terhadap Muhyiddin, pemohon memohon suatu pengisytiharan bahawa larangan itu adalah tanpa asas yang munasabah, tidak sah di sisi undang-undang serta melanggar Perkara 5, 8, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.





