28.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 18, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Pengulas Piala Dunia tegaskan digugur RTM kerana sertai PAS

    Shopee Sale

    Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar, mendakwa khidmatnya sebagai pengulas RTM bagi Piala Dunia 2026 direhatkan selepas menyertai PAS, walaupun stesen penyiaran awam itu menafikan perkara tersebut.

    Harakahdaily memetik Azlan sebagai berkata dia menerima jemputan daripada pihak RTM untuk menjadi pengulas sepanjang kejohanan berprestij itu dan telah bersetuju menerima tawaran yang dibuat melalui aplikasi WhatsApp.

    Azlan berkata berdasarkan jadual tugasan yang diterima menunjukkan dia sepatutnya mengulas sembilan perlawanan sepanjang kejohanan tersebut bersama beberapa pengulas lain.

    “Namun selepas selesai mengulas satu perlawanan membabitkan Brazil dan Belgium, saya diminta berehat dan tidak perlu lagi hadir untuk tugasan seterusnya,” katanya pada sidang media sempena Majlis Makan Malam dan Solidariti anjuran PAS Wilayah Persekutuan, malam tadi.

    Azlan berkata, apabila dia bertanyakan sebab keputusan tersebut dibuat, dia dimaklumkan bahawa tindakan itu mempunyai kaitan dengan penyertaannya sebagai ahli PAS.

    Pada Isnin lalu, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Ashwad Ismail menafikan dakwaan bekas pemain bola sepak kebangsaan itu direhatkan sebagai pengulas sukan RTM selepas menyertai PAS

    Penjelasan itu bertentangan dengan dakwaan beberapa pemimpin kanan PAS bahawa tindakan itu berpunca daripada penyertaan bekas pemain bola sepak itu dalam parti berkenaan.

    MENARIK:  Selepas sekatan, MP Subang kini dipecat sebagai pengerusi MDV

    Ashwad berkata Azlan dijemput untuk mengulas perlawanan antara Brazil dan Maghribi walaupun dia secara terbuka mengumumkan penyertaan dalam PAS pada 13 Jun.

    Dia juga menjelaskan RTM tidak memberikan tugasan pengulas secara eksklusif, sebaliknya menggunakan sistem penggiliran sepanjang kejohanan.

    Ketika dihubungi, Ashwad menegaskan dia tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk menghalang Azlan daripada mengulas perlawanan Brazil–Maghribi.

    "Beliau tetap muncul di RTM sebaik sahaja diumum menjadi ahli PAS,” katanya kepada Malaysiakini.

    Berhubung dakwaan bahawa Azlan sepatutnya mengulas baki lapan perlawanan, Ashwad berkata secara umum tiada kontrak yang mengikat mana-mana pengulas Piala Dunia di RTM.

    Dalam laporan Harakahdaily, Azlan turut mendakwa selepas tamat siaran langsung perlawanan berkenaan, dia dipanggil oleh penyelaras siaran untuk berjumpa di bilik rehat.

    Katanya, dia dimaklumkan bahawa tugasan dilaksanakannya pada malam itu berjalan dengan baik, namun menerima arahan tidak perlu lagi hadir untuk menghabiskan baki lapan perlawanan.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mendakwa Azlan digugurkan sebagai pengulas Piala Dunia selepas menyertai parti itu.

    Takiyuddin berkata semua pihak termasuk agensi kerajaan perlu menghormati hak kebebasan berpersatuan dan penglibatan politik seperti dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah