
Dunia hiburan digital tempatan bakal menerima suntikan baharu apabila Usanita Entertainment, di bawah naungan Usanita Sdn Bhd, memperkenalkan UTV iaitu sebuah platform penstriman (OTT) yang dijangka dilancarkan secara rasmi hujung Mei ini.
Erma Fatima dilantik jadi Penasihat Saluran UTV

Fokus utama platform ini yang membawa tagline ‘Stream For You’ adalah mengetengahkan karya asli tempatan, penceritaan yang autentik, serta menghargai bakat termasuk wanita dalam dunia hiburan digital.
Lebih menarik, pengarah terkenal seperti Erma Fatima turut dilantik sebagai Channel Advisor, bagi memastikan kualiti dan arah produksi UTV sentiasa berada pada tahap yang membanggakan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan berkata, penubuhan UTV bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk menonjolkan karya di pentas digital, selain memperluas capaian ke peringkat serantau.
Kami percaya Malaysia kaya dengan bakat dan kisah yang mampu memberi inspirasi, bukan sahaja kepada penonton tempatan malah di peringkat serantau.
Dengan UTV, kami ingin mencipta sebuah platform yang bukan sahaja menayangkan kandungan, tetapi juga mendidik, menyatukan dan memperkasakan suara rakyat Malaysia terutama golongan wanita agar mereka mendapat tempat yang sewajarnya dalam industri hiburan digital.
UTV bakal menawarkan pelbagai kandungan premium termasuk drama bersiri tempatan, telefilem, filem asli, dokumentari, bual bicara, serta kandungan gaya hidup dan belia yang relevan dengan citarasa generasi digital hari ini.
Bukan itu sahaja, sebagai pelengkap pelancaran UTV, dua persembahan eksklusif turut diumumkan hasil kerjasama Usanita Entertainment dan Mask Team iaitu An Evening With Nadeera Zaini, bakal berlangsung pada 30 Mei, dan Hael Husaini Antonim Night pada 31 Mei. Kedua-dua persembahan akan diadakan di NERO Event Space, PJPAC, bermula jam 8.30 malam.
Kami percaya, Nadeera dan Hael akan memberikan pengalaman persembahan yang memukau dan penuh jiwa, sejajar dengan nilai yang kami pegang di Usanita Entertainment iaitu meraikan seni tempatan yang berkualiti tinggi.
Majlis pengumuman ini diadakan sempena Sambutan Aidilfitri Usanita Sdn Bhd di Grand Hyatt Kuala Lumpur, yang turut dimeriahkan oleh kehadiran ramai selebriti ternama seperti Fattah Amin, Scha Alyahya, Nora Danish, Erma Fatima, Aina Abdul dan ramai lagi.





