33.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 8, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Gencatan senjata berkecai, Iran serang balas pangkalan AS

    Shopee Sale

    Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran menyatakan mereka menyasarkan beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Bahrain dan Kuwait pada Rabu selepas negara itu melancarkan gelombang serangan ke atas Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal tangki di Selat Hormuz.

    Reuters melaporkan dalam tamparan terbaharu terhadap perjanjian gencatan senjata yang rapuh, IRGC menyatakan ia menjalankan operasi bersama peluru berpandu dan dron terhadap pangkalan penting tentera AS di Bandar Salman, Wilayah Tentera Laut Kelima Bahrain dan Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, serta menembak jatuh dron MQ-9 AS yang cuba mengganggu operasi tersebut.

    Siren serangan udara berbunyi di Bahrain dan Kuwait, manakala tentera Kuwait mengesahkan sistem pertahanan udara mereka bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron terbabit.

    Tiada ulasan segera mengenai serangan itu daripada tentera AS.

    AS sebelum ini melancarkan serangan tentera baharu dan membatalkan lesen yang membenarkan Iran menjual minyak sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas tiga kapal tangki di selat tersebut.

    Markas Pemerintahan Pusat (Centcom) AS menyatakan lebih 60 bot kecil IRGC menjadi sebahagian daripada sasaran yang digempur bagi mengenakan tindakan tegas terhadap Tehran atas pelanggaran perjanjian gencatan senjata.

    "Pencerobohan tidak beralasan oleh tentera Iran adalah pelanggaran gencatan senjata yang jelas dan berbahaya serta mengugat kebebasan navigasi maritim," kata Centcom dalam satu kenyataan.

    Mark Rutte (kiri) bersama Presiden Trump

    Setiausaha Agung Nato, Mark Rutte memberitahu pemberita sebelum sidang kemuncak pemimpin Nato di Ankara bahawa serangan terbaharu oleh AS ke atas Iran adalah "sangat diperlukan".

    "Apabila anda mempunyai gencatan senjata dan Iran pada dasarnya melanggar gencatan senjata itu, saya fikir adalah sangat penting untuk AS bertindak balas dengan tegas," kata Rutte.

    Bagaimanapun, Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran mengecam tindakan ketenteraan AS sebagai pencerobohan nyata dan memberi amaran bahawa Tehran tidak akan membenarkan sebarang campur tangan luar di Selat Hormuz.

    Komander tentera bersama tertinggi Iran, Khatam al-Anbiya, berkata serangan AS itu sebagai "tindakan pencerobohan yang nyata", mengancam "tindak balas yang menghancurkan", dan memberi amaran bahawa Tehran tidak akan membenarkan campur tangan AS dalam pengurusan selat itu.

    Perunding utama yang juga Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf menuduh Washington mencabuli perjanjian melalui siri serangan udara, sekatan minyak baharu serta serangan Israel di Lubnan.

    "Era buli dan pemerasan sudah berakhir," kata Qalibaf dalam satu hantaran di X.

    "Kami tidak akan menyerah."

    Media Iran sebelum ini melaporkan letupan di hab minyak utama Iran di Pulau Kharg, di Pulau Qeshm dan di bandar pelabuhan selatan Sirik dan Bandar Abbas.

    Press TV Iran melaporkan beberapa letupan kedengaran di selatan Pulau Kharg. Centcom tidak menyebut tentang Pulau Kharg, tempat Iran mengeksport 90 peratus minyak mentahnya.

    Seorang pegawai AS memberitahu Reuters bahawa serangan menyasarkan sistem pertahanan udara Iran, sistem pengawasan pantai, peluru berpandu permukaan ke udara, peluru berpandu jelajah anti-kapal dan tapak pelancaran dron.

    Tiada kematian orang awam dilaporkan di Iran, tetapi beberapa orang cedera akibat serpihan daripada "peluru musuh" yang terkena jeti komersial di Sirik, menurut seorang wartawan TV kerajaan Iran.

    Laporan menyatakan serangan turut terkena jeti nelayan di Sirik dan di Bandar Abbas.

    MENARIK:  Wong digesa undur jika rasa dah tak sehaluan dengan PKR

    Insiden tersebut merupakan ancaman terbaharu terhadap perjanjian gencatan senjata yang rapuh yang dicapai oleh AS dan Iran bulan lepas, yang menghentikan seketika konflik yang bermula dengan serangan AS dan Israel di seluruh Republik Islam itu.

    Harga minyak meningkat

    Dalam tamparan yang berpotensi besar terhadap perjanjian itu, Washington bertindak pada Selasa untuk menarik balik konsesi penting yang membenarkan Iran menjual minyak di pasaran antarabangsa.

    Harga minyak meningkat lebih 3 peratus selepas AS mengumumkan langkah tersebut.

    Seorang pegawai AS menyatakan sebelum ini bahawa para perunding terus bekerja dengan niat baik ke arah perjanjian muktamad dengan Iran.

    Namun, kawalan ke atas selat itu memberikan Tehran pengaruh yang besar, yang secara berkesan membolehkannya memaksakan jalan buntu dengan tentera paling berkuasa di dunia.

    Penganalisis menyatakan Tehran menggunakan serangan ke atas kapal untuk menegaskan pengaruh tersebut semasa merundingkan perjanjian damai jangka panjang dengan AS.

    Di bawah perjanjian sementara AS-Iran, Perbendaharaan AS mengeluarkan lesen am pada 22 Jun bagi membenarkan penjualan minyak mentah serta produk petrokimia dan petroleum yang berasal dari Iran sehingga 21 Ogos.

    Tindakan membatalkan lesen itu pada Selasa memberikan Iran tempoh sehingga 17 Julai untuk menyelesaikan sebarang transaksi.

    Langkah yang perlu

    Kementerian luar Iran mengecam langkah itu sebagai pelanggaran perjanjian rangka kerja untuk menamatkan peranang dan menyatakan Washington akan memikul tanggungjawab atas akibatnya.

    Kementerian itu menyatakan pada awal Rabu bahawa Iran akan mengambil apa-apa langkah yang dianggap perlu untuk melindungi kepentingannya dan keselamatan negara.

    Walaupun Tehran menafikan tanggungjawab terhadap serangan terbaharu ke atas kapal di selat itu, Qatar menyalahkan Iran kerana menyerang kapal-kapal berkenaan, termasuk kapal tangki gas asli cecair besar Qatar, Al Rekayyat, yang melaporkan diserang oleh dron sehingga menyebabkan kebakaran di bilik enjinnya.

    Krew kapal berada dalam keadaan selamat dan sedang dipindahkan.

    Sebuah kapal tangki minyak mentah berbendera Arab Saudi, yang dipercayai kapal tangki super Wedyan, turut rosak di luar pantai Oman, menurut sumber keselamatan maritim.

    Puncanya tidak jelas serta-merta.

    Kementerian luar Iran menyatakan tuduhan Qatar adalah mengelirukan dan Tehran sedang melaksanakan komitmennya dengan tekun.

    Meskipun begitu, ia menyatakan kapal komersial menghadapi risiko kerana menggunakan laluan yang tidak dikoordinasikan dengan Iran.

    Seorang lagi pegawai AS, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, menyatakan petunjuk awal menunjukkan Iran melepaskan tembakan ke arah tiga kapal komersial.

    Serangan AS berlaku ketika ratusan ribu rakyat meratapi kematian Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei di kota suci Qom.

    Khamenei terkorban bersama anak perempuan, cucu perempuan, menantu lelaki dan menantu perempuannya pada hari pertama peranang.

    Gencatan senjata itu bertujuan memberikan tempoh 60 hari untuk rundingan mengenai perjanjian kekal, tetapi rundingan tidak langsung di Qatar berakhir minggu lepas tanpa sebarang tanda kemajuan.

    Presiden AS Donald Trump berulang kali mengancam untuk menyambung semula pengeboman melainkan Iran bersetuju untuk "membuat perjanjian".

    Menteri Luar Iran Abbas Araqchi menyatakan bahawa di bawah syarat memorandum gencatan senjata sementara, rundingan mengenai perjanjian muktamad "tidak akan bermula jika ancaman berterusan."

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah