Masih aku tidak lupa bagaimana berlangsungnya PRN Johor 2022, ketika moral jentera Pakatan Harapan (PH) berada di titik paling rendah. Tiada aspirasi jelas, gelita tak bermaya.
Semangat itu merudum teruk ekoran kegagalan PH mendominasi PRN Melaka beberapa bulan sebelumnya. Sedihnya, pondok panas kosong, balik awal, suasana di markas penjumlahan undi begitu sugul. Satu demi satu calon tewas. Segalanya serba tidak menjadi.
Keputusan PRN Melaka menyaksikan BN menang agak bergaya apabila ramai pengundi atas pagar tidak keluar mengundi kerana kebimbangan terhadap pandemik Covid-19. Kerajaan PH Melaka akhirnya tumbang bertukar tangan kepada BN.
Pada waktu itu juga, populariti Anwar Ibrahim belum mampu mengatasi kesan Langkah Sheraton. Beliau ditipu, dipermainkan, dilabel sebagai “PM tepi”, malah menjadi sasaran pelbagai cemuhan.
Ketika itu, tidak ramai yang menyangka hujungnya perjalanan berduri membawa beliau ke Putrajaya sebagai PMX, perdana menteri ke-10.
Maka PRN Johor 2022 berlangsung dalam suasana yang suram. Yang benar-benar bersemangat ketika itu hanyalah jentera BN. Peratusan keluar mengundi juga rendah, hampir menyamai PRN Melaka. Itulah kelebihan mereka.
Ada DUN yang mencatatkan kehadiran pengundi bawah 45 peratus, manakala purata keseluruhan hanya sekitar 53 peratus.
Ini bermakna sebahagian besar yang keluar mengundi ialah penyokong tegar BN yang telah lama bertapak di Johor, sementara ramai pengundi atas pagar masih memilih untuk tidak keluar, juga kerana faktor pandemik.
Selepas kemenangan besar di Johor, BN mula mendabik dada, angkuh dan bongkak, segera mengatur langkah untuk mengadakan PRU15 lebih awal, dikira momentum PRN Johor 2022 itu masih tersisa memihak kepada mereka.
Ismail Sabri Yaakob menerima tekanan yang sangat hebat. Padahal kawan itu baru beberapa belas bulan jadi perdana menteri, namun parlimen dibubarkan hampir setahun lebih awal daripada tempoh sepatutnya atas desakan presiden.
Keadaan itu hampir sama dengan apa yang berlaku hari ini apabila pilihan raya diadakan lebih awal daripada jangkaan, sama dengan pakej angkuh dan bongkak. Namun bezanya, tahun 2022 dan tahun 2026 bukanlah suasana yang sama.
Pada tahun 2022, Pakatan Harapan hanya memiliki seorang Anwar Ibrahim sebagai simbol harapan. Pada tahun 2026, PH memiliki PMX yang datang bersama rekod pentadbiran.
Aura PMX dijangka mampu menggerakkan lebih ramai pengundi atas pagar untuk keluar beratur di pusat mengundi, memangkah Harapan.
Lebih penting, calon-calon PH kali ini bukan calon tangkap muat. Mereka membawa identiti, integriti dan rekod masing-masing, diperkukuhkan pula dengan jenama PMX yang memimpin Kerajaan Madani selama tiga tahun setengah dengan pelbagai pencapaian yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat.
Jika pada tahun 2022 tekanan berada di bahu PH, kali ini tekanan sebenar berada di bahu Onn Hafiz.
Persoalannya, mampukah beliau mempertahankan 40 kerusi yang dimenangi BN sebelum ini?
Akhir kalam, rakyat Johor kini mempunyai peluang untuk memilih sebuah kerajaan negeri yang baharu bawah PH.
Bayangkan kehebatan Bangsa Johor disulam dengan formula kemajuan Selangor, dianyam semangat perpaduan Pulau Pinang, serta disemai nilai kerohanian dan kebajikan modal insan yang menjadi kekuatan Negeri Sembilan. Perfecto.
EDY NOOR REDUAN, timbalan ketua penerangan PKR Negeri Sembilan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





