Piala Dunia 2026 bukan sahaja menyaksikan drama di atas padang, tetapi turut menjadi detik perpisahan buat beberapa nama besar bola sepak dunia.
Ada yang mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan, ada pula yang mengesahkan kejohanan ini sebagai Piala Dunia terakhir mereka.
Artikel Berkaitan: Juara World Cup 2026 Bakal Bawa Pulang RM235 Juta, Portugal Raih RM61.1 Juta Selepas Tersingkir Di Pusingan 16 Terbaik
Artikel Berkaitan: Cristiano Ronaldo Buktikan Pengkritik Silap, Ledak Dua Gol & Cipta Sejarah Baharu World Cup 2026
Legenda bersara selepas Piala Dunia 2026
1. Neymar – Brazil

Neymar mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa selepas Brazil tersingkir kepada Norway pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.
Keputusan itu menamatkan perjalanan panjangnya bersama skuad Selecao, pasukan yang pernah meletakkan harapan besar kepadanya sebagai pewaris legasi bola sepak Brazil.
Walaupun gagal menghadiahkan trofi Piala Dunia kepada negaranya, Neymar tetap meninggalkan nama sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dan antara pemain paling berbakat dalam generasinya.
Bagi peminat Brazil, pengunduran Neymar bukan sahaja sekadar kehilangan seorang penyerang, tetapi berakhirnya satu era yang penuh harapan, tekanan dan memori.
2. Riyad Mahrez – Algeria

Riyad Mahrez turut mengesahkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa selepas Algeria tersingkir kepada Switzerland pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026.
Kapten Algeria itu menutup karier bersama skuad kebangsaan selepas mencatat 119 penampilan dan 40 gol, selain menjadi antara watak penting ketika Algeria muncul juara Piala Negara-Negara Afrika pada 2019.
Sepanjang bersama The Desert Foxes, Mahrez dikenali sebagai pemain yang memiliki sentuhan teknikal tinggi, visi permainan dan kepimpinan yang menjadikannya antara ikon terbesar bola sepak Algeria.
3. Manuel Neuer – Jerman

Legenda Jerman, Manuel Neuer, turut menutup tirai karier antarabangsanya selepas berakhirnya kempen Piala Dunia FIFA 2026.
Penjaga gol berusia 40 tahun itu sebelum ini kembali menyertai skuad kebangsaan selepas menamatkan persaraan antarabangsa bagi membantu Jerman menghadapi Piala Dunia 2026.
Namun, Neuer kini mengesahkan sejak sebelum kejohanan bermula bahawa edisi kali ini merupakan penampilan terakhirnya bersama Die Mannschaft.
Perjalanan Jerman berakhir dengan kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti kepada Paraguay pada pusingan 32 terbaik. Selepas tersingkir, Neuer menunaikan janjinya untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa, sekali gus menutup karier yang menyaksikannya meraih 128 penampilan dan muncul juara dunia pada 2014.
4. Christiano Ronaldo – Portugal

Christiano Ronaldo tidak mengumumkan persaraan penuh daripada skuad kebangsaan Portugal, namun beliau mengesahkan Piala Dunia FIFA 2026 merupakan penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.
Selepas Portugal tersingkir kepada Sepanyol, ia secara rasmi menutup perjalanan Ronaldo dalam kejohanan terbesar bola sepak dunia.
Ronaldo mencipta sejarah antara pemain yang beraksi dalam enam edisi Piala Dunia, bermula pada 2006 hingga 2026.
Walaupun belum bersara daripada bola sepak profesional atau skuad Portugal, babak Piala Dunia buatnya kini sudah berakhir.
Dengan rekod jaringan antarabangsa yang luar biasa dan pengaruh besar selama lebih dua dekad, Ronaldo tetap meninggalkan legasi yang sukar ditandingi.
5. Enner Valencia – Ecuador

Kapten Ecuador, Valencia turut mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa selepas Ecuador tewas kepada Mexico pada pusingan 32 terbaik.
Valencia meninggalkan skuad kebangsaan sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Ecuador, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai salah seorang pemain paling penting dalam sejarah bola sepak negara itu.
Pada usia 36, Valencia sebelum ini sudah memberi bayangan tidak akan terlibat dalam kempen kelayakan Piala Dunia seterusnya.
Bagi Ecaudor, kehilangan Valencia bukan hanya dari segi jaringan gol, tetapi juga pengalaman, kepimpinan dan pengaruh besar dalam bilik persalinan.
Sumber / Kredit Foto: People.com, Yahoo sports, espn.com, beinsports, the new nation, bundesliga
The post Selamat Tinggal! Ini 5 Bintang Bola Sepak Yang Gantung But Selepas Piala Dunia 2026 first appeared on OHBULAN!.





