29 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 8, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Lebih 242,000 PATI dihantar pulang, Akta Hasutan kekal relevan

    Shopee Sale

    PARLIMEN l Sebanyak 242,063 pendatang tanpa izin daripada 112 negara dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi Program Repatriasi Migran yang dilaksanakan sejak 15 Mei 2025 hingga Jun tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah berkata mereka adalah sebahagian besar daripada 264,191 warga asing yang mendaftar di bawah program tersebut.

    Beliau berkata Jabatan Imigresen (JIM) turut mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin menerusi pendekatan proaktif melibatkan operasi penguatkuasaan, pemantauan pematuhan, pelaksanaan program repatriasi serta kerjasama strategik dengan pelbagai agensi.

    “Bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Jun 2026, JIM melaksanakan sebanyak 5,470 operasi penguatkuasaan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan ke atas 76,608 individu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2024 bagi kementerian itu.

    Mengenai kebimbangan masyarakat terhadap kewujudan kawasan tumpuan warga asing, katanya, JIM turut memperhebat operasi di lokasi berisiko tinggi termasuk premis yang menggaji pekerja asing, institusi pendidikan, kawasan perniagaan, pasar borong dan kawasan perumahan, dengan 2,528 pemeriksaan dijalankan.

    Selain itu, dia berkata JIM melaksanakan 470 operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan, selain 71 operasi bersama PBT bagi membanteras penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan yang menyalahi undang-undang.

    MENARIK:  Sabotaj negara: Polis teliti semua aspek secara profesional

    Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM merekodkan 378 kes di bawah kategori kes jenayah melibatkan anggota polis pada 2023 dan jumlah itu meningkat kepada 407 kes (2024) serta 463 kes (2025).

    Selain itu, sebanyak 12 kes kematian dalam tahanan direkodkan pada 2023, meningkat kepada 13 kes pada 2024 dan 22 kes pada 2025.

    “Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) menerima 100 aduan pada 2023, meningkat kepada 338 aduan pada 2024 dan 388 aduan pada 2025.

    “Namun statistik itu perlu ditafsir dengan mengambil kira perubahan mekanisme penerimaan aduan susulan penubuhan IPCC pada Julai 2023 yang mengambil alih fungsi berkenaan daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC),” katanya.

    Berhubung isu hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman, dia berkata Akta Hasutan 1948 masih relevan sebagai instrumen penguatkuasaan terhadap ucapan berunsur hasutan dan tindakan penguatkuasaan hanya akan diambil jika terdapat asas yang kukuh.

    Beliau berkata ia termasuk ucapan atau tindakan yang mempunyai elemen hasutan, kecenderungan menghasut, isu perkauman, keganasan, mencetuskan permusuhan, menggugat ketenteraman awam atau mengancam keselamatan negara.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah