PARLIMEN l Kerajaan menafikan dakwaan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, memasuki negara ini tahun lepas bagi rundingan rahsia berkaitan pembayaran semula hutang atau pakej penyelesaian melibatkan 1MDB.
Perkara ini dibangkitkan semasa sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pagi ini, menyaksikan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menjawab soalan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai isu berkenaan.
"Terima kasih Yang Berhormat Muar. Saya dengan ini menafikan dakwaan tersebut," kata Liew.

Syed Saddiq turut mempersoalkan sama ada Kementerian Kewangan mengetahui mengenai dakwaan rundingan itu memandangkan isu 1MDB melibatkan pengurusan kewangan kerajaan, selain meminta pengesahan mengenai status penglibatan Jho Low yang masih bebas hingga kini.
Sebelum ini, Sarawak Report dalam satu rencana mendakwa Low, yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia kerana perananannya dalam skandal 1MDB, berperananan penting dalam "rundingan rahsia antara China dan Malaysia" untuk menghapuskan hutang berkaitan 1MDB pada penghujung tahun lepas.
Laman pembongkar yang disekat oleh pihak berkuasa Malaysia itu memetik sumber yang mendakwa bahawa mesyuarat melibatkan Low berlaku di Kuala Lumpur, kononnya di bawah "perlindungan" delegasi China.
Laporan itu mendakwa rundingan tersebut, yang dihadiri oleh Low, bertujuan menyelesaikan isu berkaitan 1MDB antara Malaysia dengan China, khususnya perananan Beijing yang didakwa membantu bekas perdana menteri yang kini dipenjarakan, Najib Razak menutup skandal berkenaan.

Susulan itu, polis pada 16 Mei menyatakan bahawa mereka akan menyiasat bagi mengesahkan dakwaan tersebut.





