Siapa sangka, sebuah kampung kecil di Kuala Krai kini jadi sebutan ramai selepas pelaksanaan Kampung Angkat MADANI yang diusahakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama komuniti setempat.
Kg. Jenal, Dabong yang dulunya hanya dikenali sebagai perkampungan sederhana kini berubah wajah! Bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal, tapi juga semangat kebersamaan yang semakin kukuh.
Jambatan Baharu, Harapan Baharu

Bagi penduduk di sini, jambatan baharu yang siap dibina hasil inisiatif program ini bagaikan nadi kehidupan. Sebelum ini, ramai terpaksa melalui jalan sempit dan tidak selamat untuk ke bandar atau menghantar hasil pertanian ke luar kampung.
Naik taraf infrastruktur bernilai RM800,000 seperti ini bukan sekadar memudahkan urusan harian, tapi juga membuka peluang ekonomi baharu di mana ramai anak muda mula berani berniaga dalam talian, memasarkan produk kampung ke pasaran lebih luas.
Surau Baharu, Jiwa Komuniti Lebih Hidup

Selain infrastruktur asas, Kampung Angkat MADANI turut memberi tumpuan kepada pembangunan rohani. Surau kampung yang dulunya uzur kini dinaik taraf menjadi lebih selesa dan moden.
Surau bukan sekadar tempat beribadah, tapi juga jadi pusat aktiviti sosial di mana tempat warga kampung berkumpul, bertukar pendapat dan mengeratkan silaturahim.

Selain itu, pagar pagi tanah perkuburan Islam Kampung Jenal turut dibangunkan dengan jumlah RM100,000. Difahamkan projek ini dibangunkan secara gotong-royong.
Dewan Serbaguna Jadi Pusat Semangat Gotong-Royong

Sebuah dewan serbaguna baharu telah dibaikpulih bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat menjalankan pelbagai aktiviti sosial, sukan dan kemasyarakatan. Projek pembaikan yang menelan kos sebanyak RM400,000.00 turut merangkumi kerja-kerja pembaikan masjid, tandas serta penambahbaikan landskap di kawasan sekitar.
Kini, dewan serbaguna Kg. Jenal menjadi nadi komuniti. Dari majlis perkahwinan, mesyuarat penduduk, hinggalah bengkel keusahawanan, semuanya berlangsung di situ.
Kampung MADANI: Bukan Sekadar Nama, Tapi Perubahan Nyata

Program ini bukan sekadar menaik taraf kemudahan namun turut membawa nilai-nilai MADANI seperti perpaduan, kesejahteraan dan kemanusiaan ke tengah masyarakat luar bandar. Malah, anak muda turut meraih manfaat menerusi pembinaan gelanggang futsal yang menelan belanja RM500,000 ini.
Ramai anak muda kini terlibat dalam aktiviti komuniti, malah ada yang mula melibatkan diri dalam latihan keselamatan dan program sosial anjuran PDRM. Semangat gotong-royong kembali subur, mencipta suasana kampung yang harmoni dan penuh rasa tanggungjawab bersama.
Penghargaan Buat Kerajaan Dan PDRM
Penduduk Kg. Jenal menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan PDRM atas peruntukan serta komitmen berterusan mereka melalui Kampung Angkat MADANI. Usaha ini jelas membuktikan bahawa kesejahteraan rakyat luar bandar tetap menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negara.
Berbekalkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta, para penduduk beroleh manfaat menerusi pembinaan jambatan, surau, pagar tanah perkuburan, baik pulih jalan, pemasangan lampu solar dan lain-lain lagi.
Kisah Kg. Jenal ini menjadi bukti bahawa dengan sokongan, keprihatinan dan semangat komuniti, sebuah kampung kecil pun mampu menjadi contoh kepada seluruh negara. Inisiatif seperti Kampung Angkat MADANI bukan sekadar menaik taraf fizikal, tetapi membina jiwa dan jati diri rakyat yang lebih kuat dan bersatu.
Kerana pada akhirnya, kekuatan sebenar sesebuah negara bermula daripada komuniti kecil serta dari hati dan tangan rakyat yang bersatu demi masa depan yang lebih sejahtera.
The post Bukan Sekadar Projek, Tapi Perubahan Hidup, Inilah Kesan Sebenar Kampung Angkat MADANI first appeared on OHBULAN!.





