Kalau dulu, Kampung Kuala Mengkuang mungkin hanya dikenali sebagai sebuah perkampungan kecil di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Tapi kini, korang akan terkejut apabila menjejakkan kaki ke sini.
Untuk pengetahuan korang, Kampung Kuala Mengkuang dengan lebih 1,300 penduduk telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI (KAM) di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Projek ini menjadi titik perubahan besar buat penduduk, daripada kampung sederhana kini telah berubah wajah menjadi sebuah destinasi yang ‘Instagrammable’ dan penuh dengan pelbagai inisiatif komuniti, hasil daripada sentuhan magis Program KAM.
Perubahan holistik: dari sungai ke jalan raya

Bukan sekadar cakap kosong, perubahan ini nyata! Menerusi laporan Buletin Mutiara, Pengerusi Majlis Komuniti Kampung (MPKK), Ibrahim Din mengatakan bahawa sebanyak 34 projek telah dilaksanakan dengan peruntukan RM2.5 juta daripada ICU JPM sejak tahun 2024.
Bayangkan, daripada sebuah kampung yang biasa-biasa, kini ia dilengkapi dengan prasarana yang jauh lebih baik.
Antara projek yang telah siap ialah pembinaan dewan terbuka, penurapan jalan, pemasangan lampu jalan, kebun komuniti serta baik pulih Tabika KEMAS.
“Alhamdulillah, semua cadangan penduduk dipersetujui pihak ICU JPM. Inilah kemudahan yang kami perlukan sejak dulu,” katanya ketika ditemui media.

Projek yang paling menarik perhatian ialah transformasi tebing Sungai Kulim. Sungai yang dahulunya hanya menjadi tumpuan kaki pancing, kini dilengkapi dengan trek joging sepanjang 1.5 kilometer dan pondok-pondok rehat yang selesa.
Ia telah menjadi pusat riadah baharu untuk penduduk dan pengunjung. Malah, masalah banjir yang sering membelenggu turut ditangani dengan kerja-kerja pendalaman dan pembaikan tebing sungai, memastikan penduduk dapat hidup dengan lebih tenang.
Seni, ekonomi dan rekod Malaysia!

Mural di jambatan kereta api yang merentangi Sungai Kulim adalah antara tarikan utama.
Lukisan unik bermotifkan flora dan fauna yang dihasilkan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) ini bukan sahaja cantik, malah telah dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Seni Mural Kreatif Pertama Di Jambatan Landasan Keretapi (First Railway Bridge Mural) di negara kita!
Keindahan seni dan alam semula jadi sekitarnya telah menonjolkan kawasan ini sebagai destinasi eko pelancongan yang semakin popular di Pulau Pinang.
Di sebalik keindahan fizikal, program ini juga memberi fokus kepada pembangunan ekonomi penduduk. Kaum wanita terlibat dalam Projek Kraf Kreatif untuk menjana pendapatan sampingan, manakala golongan belia pula mengusahakan projek pertanian sayur dan herba menggunakan kaedah hidroponik di bawah Program Sejati MADANI.
Semua ini membuktikan bahawa Program KAM bukan hanya tentang binaan, tetapi juga tentang membina potensi dan kemandirian komuniti.
Inspirasi dari Kuala Mengkuang

Kuala Mengkuang kini bukan sekadar sebuah kampung, tapi simbol inspirasi bahawa dengan kerjasama kerajaan, agensi dan komuniti, sebuah kampung kecil mampu melonjak menjadi destinasi membanggakan.
Kejayaan ini tidak mungkin berlaku tanpa kerjasama padu 16 Rakan Strategik Utama ICU JPM. Hubungan harmoni dalam kalangan penduduk juga memainkan peranan penting dalam memastikan setiap projek berjalan lancar.
Jadi, kalau korang mencari tempat menarik untuk bersantai bersama keluarga, beriadah atau hanya sekadar berswafoto di hadapan mural yang ikonik, jangan lupa singgah ke Kampung Kuala Mengkuang.
The post Bukan Sekadar Kampung, Kuala Mengkuang Kini ‘Instagrammable’ Habis! first appeared on OHBULAN!.





