ULASAN SUKAN | Macam-macam pendapat atau pandangan disuarakan sejak pengumuman rasmi Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dicalonkan menggalas jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Rata-rata ada yang curiga sama ada dia benar-benar bersedia atau tidak untuk tampil memimpin sebuah persatuan kebangsaan yang dianggap paling popular di negara ini selepas bola sepak.
Popular di sini bermaksud cabang sukan yang lebih kerap menghasilkan kejayaan antarabangsa dan sentiasa mengangkat martabat negara di pentas dunia.
Jadi, apakah sebenarnya hujah-hujah yang dikeluarkan?
Jika diteliti nampaknya ia lebih terarah kepada perdebatan mengenai ketiadaan pengalaman pada Zafrul dalam urusan pentadbiran membabitkan sebuah badan induk yang penting di negara ini.
Tambahan pula, komuniti badminton kita sentiasa mengharapkan kejayaan lebih besar setiap kali ada pemimpin baru dipilih atau dilantik.
Lebih khusus ialah persoalan yang kini belum mendapat jawapan: bilakah kita akan mampu meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik?
Rancangan padu amat penting
Justeru ada pemerhati yang didakwa mengutarakan pandangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu sebenarnya masih 'mentah’ untuk menguruskan sebuah persatuan sukan sebesar BAM.
Semua itu sekadar memberi satu isyarat bahawa kita sedang 'bermain' dengan satu risiko - sama ada kedatangan Zafrul merupakan peluang baru atau kelesuan yang berpanjangan.
Apa pun, persoalan seumpama sebegitu perlu juga diimbangi dengan bicara mengenai realiti. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada pengalaman dan kemahiran Zafrul dalam dunia kewangan dan perbankan.
'Modal' yang ada pada Zafrul memang nampak bagus. Elemen itu akan memudahkan tugasan dia nanti dalam pengurusan pentadbiran BAM kerana sumber dana dan peranancangan padu amat penting bagi menjana sesebuah persatuan sukan.
Tanpa elemen tersebut kelancaran sukan berkaitan akan terbantut.
Di sini penulis cuma mahu mengetengahkan apa yang mungkin terjadi jika ada pemimpin yang kurang mahir hadir menguruskan soal pentadbiran dan kewangan sesebuah persatuan.
Tidak perlu pergi jauh. Isu pemain bola sepak negeri tidak dibayar gaji pun sudah cukup sebagai satu contoh untuk menceritakan kenapa pemimpin berpengalaman dalam urusan kewangan sangat diperlukan mengemudi sesebuah persatuan.
Dari segi ini, jelas Zafrul memiliki kelebihan untuk menjadi nakhoda BAM dan dia berpeluang mencetus satu dimensi baru dalam dunia badminton tanah air.

Tidak banyak perlu diceritakan siapa beliau. Pengalamannya kira-kira dua dekad dalam dunia pelaburan dan kewangan adalah hujah bahawa dia antara calon yang dilihat sesuai kerana mampu merapatkan lagi hubungan kerjasama di antara BAM dengan sektor swasta secara lebih strategik.
BAM juga memerlukan seorang presiden yang senang berinteraksi dengan pihak penaja. Itu antara elemen penting dalam menjana program pembangunan jangka panjang sukan berkenaan.
Sebenarnya hakikat itu juga menjadi cabaran kepada Zafrul. Setidak-tidaknya orang akan bertanya - apakah dia dapat menyamaikan kemampuan presiden terdahulu BAM, Mohamad Norza Zakaria, atau pun mengatasinya apabila memulakan penggal pentadbiran baru dari 2025 sehingga 2029 pada Mei ini.
Jangan terlajak ke bisnes saja
Umum tahu Norza berjaya membuktikan kualiti kepimpinannya menerusi keringat dan komitmen yang tinggi. Banyak kejayaan yang dituai oleh atlet negara dalam kejohanan anjuran Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) ada kaitan dengan ilham, kredibiliti dan sumbangan besar Norza.
Percayalah, ia tidak akan mudah bagi Zafrul dalam menangani sepak terajang amat mencabar dunia badminton. Hanya masa akan dapat memberi jawapan apakah dia akan ‘melepasi garisan penamat’ sebagai pemenang satu hari nanti atau sebaliknya.
Perlu juga diingat bahawa Zafrul hadir ketika skuad negara berdepan beberapa isu, sekali gus ia akan menjadi cabaran buatnya, disertai pula dengan pengetahuan yang terhad mengenai sifir permainan berkenaan.
Harapan kita ialah agar tumpuannya jangan sampai lebih terarah kepada aspek bisnes sehingga mengabaikan misi lebih penting iaitu melahirkan bakat baru sebagai bintang masa depan negara.
Di sini kita perlu berbalik pula kepada faktor pengalaman dalam mentadbir persatuan sukan yang besar. Norza terbukti memiliki keupayaan menguruskan pemain dan jurulatih negara dengan baik melalui sifat keterbukaannya.

Norza melihat badminton dari hati kerana minat mendalamnya kepada sukan berkenaan. Dia juga berjasa besar kerana menjadi pengasas kepada penubuhan Akademi Badminton Malaysia kira-kira lapan tahun lalu.
Keringat itu membutirkan hasil lumayan. Antara paling menonjol adalah apabila Malaysia memenangi kejuaraan kali pertama di Kejohanan Dunia menerusi pasangan beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Satu lagi detik gemilang badminton negara di bawah Norza ialah apabila motivasi dan dorongan diberikannya menyaksikan Pearly Tan-M Thinaah mencipta sejarah sebagai pasangan beregu wanita negara yang pertama menjuarai Terbuka Perancis sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1909.
Difahamkan juga, di bawah tempoh kepemimpinan Norza, pemain negara berjaya menjuarai 36 gelaran dalam kalendar BWF.
Minta perhatian Zafrul. Sebenarnya apa yang bakal menguntungkan Zafrul ialah struktur dan sistem badminton negara sudah pun dilakar baik oleh Norza pada tempoh pentadbirannya dari April 2017 sehingga Ogos 2024.

Justeru Zafrul cuma perlu segera mendapatkan rentak dan kemudian meneruskan langkah tanpa menoleh ke kiri atau kanan lagi.
Dia perlu tahu bahawa tiada sesiapa mengharapkan kejayaan mendadak daripadanya, cuma jangan sampai bahtera yang belayar itu kerap retak atau gagal menempuh gelora.
Rasanya, tidaklah sukar sangat bagi Zafrul untuk belajar dan memahami cabaran di depannya. Dia perlu turun ke gelanggang dan menghayati aspek permainan badminton daripada pegawai, jurulatih dan pemain.
Ia mungkin kelas pertama yang perlu Zafrul ikuti untuk mendapatkan gambaran sebenar.
Penulis percaya dia dapat mendekati badminton dengan baik jika rajin bergaul sekali gus segera memahami budaya badminton di peringkat domestik atau antarabangsa.
Bak kata pepatah Melayu - tak kenal maka tak cinta.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





