Ketika tulisan ini digarap dunia telah menerima berita baik. Media dunia telah melaporkan bahawa Perang Iran tamat. Pada Jumaat 19 Jun ini akan ada pertemuan di Geneva Switzerland antara wakil Amerika dan wakil Iran.
Pada 14 Jun 2026, Presiden Donald Trump mengumumkan di Truth Social milik Trump - bahawa perjanjian damai bersejarah untuk menamatkan peranang antara Amerika dan Iran telah selesai.
Dilaporkan harga minyak mentah mendadak turun. Bursa saham naik melonjak. Tapi belum ada perincian tentang apa yang akan ditandatangani.
Apa yang jelas pada Jumaat ini di Geneva ialah menandatangani MoU – Memorandum Persefahaman – untuk mengadakan perundingan lanjut. Tandatangan bersetuju untuk terus berbincang selama 60 hari untuk mencapai persetujuan muktamad.
Ini ialah Memo Persefahaman untuk bersetuju berunding untuk merundingkan damai.
Pelbagai desas-desus didengar. Wartawan mencungkil berita. Pemerhati dan penganalisa geopolitik memberi pendapat. Hishamuddin Rais juga masuk beri pandangan 10 sen.
Hakikatnya semua tidak tahu apa isi memo ini secara detil.
Ada melaporkan Iran dapat kembali berbilion dolar dana yang telah dibekukan. Ada laporan mengatakan 300 bilion peruntukan pelaburan untuk Iran. Ada laporan mengatakan bahawa Trump mahu sekatan tentera laut Amerika di Laut Parsi di tarik balik. Ada melaporkan Selat Hormuz akan di buka serta-merta.

Satu yang amat jelas ialah dalam memo ini ada menyebut bahawa Israel wajib hentikan menyerang Lebanon dan bala tentera Israel berundur ke sempadan negara.
Fasal Zionis undur dari Lebanon ini diumumkan bukan oleh Trump tapi oleh Shehbaz Sharif Perdana Menteri Pakistan yang menjadi orang tengah menjalankan rundingan. Juga dari mulut Abbas Araghchi Menteri Luar Iran.
Hakikatnya semua ini bukan hitam putih. Semua ini hanya laporan wartawan yang mengutip dari pelbagai sumber – rasmi dan tidak resmi.
Walau pun memo ini belum dilihat secara hitam putih tetapi komen- komen dari sosok-sosok yang bersangkutan dan rapat dengan punca kuasa telah didengar.
Ketiadaan teks yang dikeluarkan secara terbuka untuk "memorandum persefahaman" menjadikan beberapa Senator dari Parti Republikan risau dan bimbang. Mereka merasa ada kekosongan maklumat di Capitol Hill.
Malah kebanyakan Republikan bersetuju: Lebih banyak maklumat perlu datang ke Kongres dalam masa terdekat. Sebarang perjanjian yang menyentuh masa depan program nuklear Iran akhirnya akan tertakluk kepada undian Kongres.
"Jika anda mahu perjanjian berpanjangan, ia tidak boleh menjadi perjanjian eksekutif," kata Senator James Lankford wakil Oklahoma dari Parti Republikan. "Kita perlu mempunyai undi Kongres untuk dapat mengukuhkan untuk jangka panjang."
Di Tel Aviv suara yang lebih garang dapat didengar.

Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben Gvir dan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich mengecam perjanjian gencatan senjata yang belum selesai antara Washington dan Tehran.
Mereka menegaskan bahawa Israel dibenarkan meneruskan pertempuran dalam pelbagai bidang. Ini garis politik bengis dan ganas dari Tel Aviv.
“Negara Israel tidak boleh menerima gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran,” kata Ben Gvir kepada pemberita menjelang mesyuarat mingguan parti ultranasionalisnya Otzma Yehudit di Knesset.
Ben Gvir Menteri KDN Israel yang berfahaman ekstrem kanan menegaskan bahawa “keselamatan rakyat Israel dan askar IDF berada di atas semua pertimbangan lain” dan bahawa Israel “tidak terikat dengan perjanjian yang menghentikan keupayaannya Israel untuk mempertahankan diri.
Pemerhati dan penganalisa geopolitik dari pelbagai saluran media bersetuju bahawa Presiden Donald J Trump mahu peranang ini dihentikan.

Trump kini diakui dalam keadaan yang amat tertekan. Pertama tekanan dari para penyokong MAGA – Make America Great Again. Mereka ini pengundi tegas parti Republikan.
Tekanan juga datang dari warga Amerika. Rakyat Amerika merasa sesudah 28 Februari 2026 dulu harga minyak petrol meningkat naik. Harga barang makanan di gedung membeli belah juga naik. Kadar inflasi kini 4.2 peratus. Gaji masih di takuk lama.
Pada bulan November ini akan berlaku Pilihan Raya Pertengahan Penggal. Dua tahun sesudah Presiden dipilih. Pilihan Raya Pertengahan Penggal memberi peluang kepada pengundi untuk memutuskan parti mana yang mengawal Kongres.
Kunci politik di sini ialah parti mana akan mengawal Kongres. Pada ketika ini majoriti ahli Kongres dari parti Republikan. Jika ini berubah maka punca kuasa dalam Kongres akan beralah ke Parti Demokrat.
Ini amat bahaya untuk Presiden Trump. Suara dari Parti Demokrat telah kedengaran untuk memecat Trump.
Kali pertama Trump menjadi Presiden dia telah dicabar oleh Dewan Rakyat pada 18 Disember 2019, atas tuduhan salah guna kuasa dan menghalang Kongres. Tetapi dia telah dibebaskan oleh Senat atas kedua-dua pertuduhan pada 5 Februari.
Kali ini tuduhan pasti lebih kuat : Membawa Amerika berperanang tanpa persetujuan Kongres. Inilah yang menakutkan Trump.
Wajib diingati sejarah Perang Vietnam. Presiden Amerika ke-37 Richard Nixon hendak dipecat atas tuduhan melakukan kesalahan dalam Skandal Watergate. Nixon meletak jawatan pada 9 Ogos 1974 bagi mengelakkan proses pemecatan.

Semua tekanan ini sedang memaksa Trump untuk menanda tangani MOU dengan Iran. Berita terakhir telah melaporkan bahawa Sang Presiden telah menandatangani secara elektronik. Tetapi belum ada berita rasmi dari Tehran.
Malah di Iran juga bukan semua bersetuju untuk membuat Janji Damai dengan Amerika. Bantahan paling kuat terhadap Memorandum Persefahaman dengan pentadbiran Donald Trump datang daripada ahli politik garis keras dan kalangan media yang bergabung dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Ahli Parlimen Konservatif seperti Mahmoud Nabavian dan Kamran Ghazanfari, mengkritik hebat draf tersebut. Mereka berhujah bahawa perjanjian itu adalah penyerahan yang memerlukan terlalu banyak konsesi daripada Iran. Mou ini dilihat dan gagal menjamin penghapusan semua bentuk sekatan.
Kritikan ini disokong oleh agensi berita seperti Fars News Agency yang berkait rapat dengan Kor Pengawal Revolusi. Tulisan dan berita mengkritik perunding negara, termasuk Menteri Luar Abbas Araghchi disiarkan.
Satu perkara yang amat menonjol ialah sikap Netanyahu dan Israel sendiri. Sama seperti Trump - Netanyahu juga akan berhadapan dengan suara rakyat. Pada 27 Oktober ini akan ada PRU untuk merebut 120 kerusi Parlimen Israel.

Dalam masa yang sama Netanyahu juga berhadapan dengan kes rasuah yang sedang dibicarakan. Jika Netanyahu kalah dan tidak lagi menjadi Perdana Menteri Israel dan didapati bersalah maka Netanyahu akan di penjarakan.
Kini setelah berbulan berperanang dengan Iran kelihatan projek dan niat asal Netanyahu ini gagal. Kegagalan ini menjadikan warga Israel marah terhadap Netanyahu.
Menyerang Iran pada 28 Februari 202 dulu berniat: Pertama untuk mendirikan kerajaan baru atau regime change di Iran. Kedua untuk memusnahkan uranium kaya milik Iran. Ketiga untuk memecahkan kesatuan negara bernama Iran.
Tiga-tiga projek induk rancangan Netanyahu bersama Trump ini terbukti gagal meleset.
Betul - Pemimpin Agong Iran mati dibom. Betul - pusat nuklear Iran di musnah. Betul - banyak bangunan sekolah, hospital, universiti runtuh dibom melalui serang udara dan peluru berpandu. Betul - ramai warga Iran menjadi syahid.

Tetapi hakikatnya Iran masih kukuh sebagai sebuah kerajaan bernegara. Islamik Republik Iran kini diakui sebagai kuasa ke empat dalam dunia ini sesudah Amerika, Rusia dan China.
Terbukti walaupun disekat ekonomi semenjak 1979 - negara Parsi bernama Iran ini masih gagak tegak berdiri. Nuklear kaya masih lagi dalam simpanan Iran. Teknologi ketenteraan dan persenjataan Iran kini memeranjatkan dunia. Zionis Israel akan berfikir sepuluh kali sebelum melastik Iran.
Di persada politik dunia - di Asia, Afrika dan Amerika Latin – Iran kini dilihat sebagai negara contoh yang berani bangun melawan kuasa imperial Amerika.
Di kalangan kaum kiri dan kaum progresif yang antiimperialis Iran kini menjadi negara rujukan.
Kalau dulu Revolusi Bolsheviks Rusia 1917 dijadikan contoh. Kalau dulu Revolusi Tiongkok 1949 menjadi ikutan untuk negara Dunia Ketiga. Kalau dulu Vietnam dihormati kerana berjaya mengalahkan Amerika pada tahun 1974. Taliban dan Afghanistan juga dilihat berjaya mengalahkan Rusia dan Amerika.

Anak muda di seluruh dunia sentiasa akan berbangga memakai baju-T dengan gambar Che Geuvera. Kini anak muda sedunia tidak akan segan memakai baju T dengan wajah Ayatollah Khomeini.
Tapi awas! Kita jangan terlalu awal untuk memberi rumusan bahawa damai telah tercapai. Jangan terlalu cepat untuk menerima bahawa Perang Iran telah tamat.
Jumaat ini di Geneva akan di tandatangani Memorandum Persefahaman antara Amerika dengan Iran. Ini hanya merentas jalan damai. Ranjau dan bom jangka masih bersepah-sepah di jalan menuju damai. Bila-bila masa boleh meledak.
Damai bukan tandatangan di kertas tapi melakukan dan mengotakan apa yang telah ditandatangani dan dipersetujui. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





