Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengemukakan cadangan untuk bertanding di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata cadangan itu dikemukakan kepada pucuk pimpinan PKR bagi mendapatkan persetujuan Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya telah memberikan cadangan supaya kalau ada pilihan raya, terutamanya PRU, saya diberi peluang untuk bertanding di Selangor, tetapi belum ada keputusan muktamad," katanya.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Yayasan TZA di Kuala Lumpur hari ini.
Ahli PKR bagi Cabang Ampang itu berkata secara peribadinya, beliau tidak mempunyai kawasan sasaran, namun menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk memberikan kepercayaan kepadanya bertanding di mana-mana kawasan Parlimen yang terdapat kekosongan.

"Sebagai ahli parti dan ahli di Cabang Ampang memang banyak luangkan masa di Ampang dan juga di Pandan dan beberapa lagi kawasan lain yang saya diminta untuk bantu.
"Di Pandan ada kekosongan … Ahli Parlimen tidak ada lagi dan saya diminta untuk memantau di Ampang sebagai wakil," katanya.
Pada 30 Mei tahun lepas, Tengku Zafrul yang sebelum ini calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan menyertai PKR.
Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari kemudian mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul sebagai pegawai pemantau Parlimen Pandan dan Ampang, seiring dengan langkah parti menjadikan Parlimen Pandan kawasan angkat kepada Anwar.
Sebelum ini, bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengumumkan keluar daripada PKR dan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan.





