Hamzah Zainudin yang diumumkan PAS kekal sebagai ketua pembangkang menegaskan tidak timbul isu Parti Wawasan Negara atau Wawasan tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Ahli parlimen Larut yang juga ketua Gerakan Reset berkata parti itu sudah pun diluluskan pendaftarannya oleh ROS, sebelum dia mengambil alih dan menamakan semula parti berkenaan.
“Saya ambil alih parti. Nama sahaja tukar,” katanya kepada media selepas menghadiri pertemuan bersama ahli parlimen pembangkang di Ibu Pejabat PAS, di Kuala Lumpur malam tadi.
Hamzah berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa Wawasan, yang diumumkan minggu lalu, sebagai parti “scam”, termasuk oleh pemimpin Bersatu kerana didakwa belum berdaftar dengan ROS.

Semalam, ROS mengesahkan permohonan pertukaran nama Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) kepada Parti Wawasan Rakyat telah diterima dan kini dalam proses penelitian.
Sabtu lalu, Hamzah melancarkan Wawasan pada Konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan. Pelancaran itu dibuat empat bulan selepas dia dipecat daripada Bersatu susulan krisis kepimpinan dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, diminta mengulas lanjut berhubung status ketua pembangkang, Hamzah berkata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sebelum ini telah mengumumkan perkara itu.
Abdul Hadi ketika merasmikan Konvensyen Reset di Kelantan pada 13 Jun lalu berkata PAS bersetuju meneruskan kedudukan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang di parlimen selepas mengambil kira pandangan ahli parlimen PAS dan Reset.

Keputusan itu jelas Abdul Hadi, tidak dibuat oleh PAS secara bersendirian, sebaliknya selepas mendengar pandangan wakil rakyat lain yang bersama dalam blok pembangkang.
Mengulas pertemuan bersama ahli parlimen pembangkang di Ibu Pejabat PAS malam tadi, Hamzah berkata mesyuarat turut membincangkan persiapan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, setiap ahli parlimen akan turun membantu calon dalam kedua-dua PRN yang dijadual berlangsung Julai ini.
"Jadi rakan-rakan terutama ahli parlimen turun membantu calon-calon kita itu kita bincangkan," katanya.

Terdahulu, Hamzah bersama 16 lagi ahli parlimen yang menyertai Gerakan Reset Malaysia hadir dalam mesyuarat bersama ahli parlimen PAS yang berlangsung hampir dua jam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, yang ditemui media turut memaklumkan pertemuan ahli parlimen pembangkang malam tadi tidak membincangkan penyingkiran Bersatu daripada PN.
“Isu nak keluarkan Bersatu dalam PN tak dibincangkan,” katanya.
Sebaliknya, Rosol berkata mesyuarat hanya membincangkan persiapan untuk persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Menurut takwim parlimen, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan berlangsung dari 22 Jun hingga 16 Julai.
“Kita bincang kedudukan ketua pembangkang, hala tuju PRN, soal tukar kedudukan kerusi dalam parlimen tak bincang lagi, semua setuju Hamzah Zainudin kekal ketua pembangkang,” tambahnya.





