Kira-kira 85 peratus warga asing yang diambil tindakan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops PEWA) di Kelantan sejak Januari lepas hingga 18 Jun terdiri daripada etnik Rohingya, kata Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah.
Beliau berkata hasil pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan mendapati majoriti mereka dikesan memandu tanpa lesen yang sah selain melakukan pelbagai kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Majoriti mereka dikesan memandu tanpa lesen yang sah dan turut melakukan pelbagai kesalahan lain termasuk menggunakan kenderaan bagi tujuan perniagaan atau aktiviti yang tidak selaras dengan kategori penggunaan yang dibenarkan dalam Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Keadaan ini bukan sahaja melanggar peruntukan undang-undang jalan raya, malah boleh menjejaskan aspek keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Misuari berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak 180 kenderaan dipandu warga asing telah diperiksa, dengan 201 notis dikeluarkan membabitkan 439 kesalahan yang dikesan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, kesalahan paling banyak direkodkan ialah memandu tanpa memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu sebanyak 210 kes.
“Selain itu, sebanyak 105 kes melibatkan salah guna LKM di bawah Seksyen 23(2), manakala masing-masing 62 kes membabitkan LKM tamat tempoh mengikut Seksyen 23(1) serta tiada perlindungan insurans di bawah Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Hasil penguatkuasaan yang dijalankan, sebanyak 105 kenderaan telah disita bagi tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 34 kes turut dibawa ke mahkamah dengan denda keseluruhan berjumlah RM34,000 dikenakan terhadap pesalah yang terlibat.
Susulan itu, Mohd Misuari menyeru orang ramai, khususnya rakyat Kelantan supaya tidak meminjamkan, menyewakan atau menjual kenderaan kepada warga asing yang disyaki pendatang tanpa izin kerana tindakan itu boleh mendedahkan pemilik kenderaan kepada tindakan undang-undang.
Beliau berkata JPJ Kelantan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warga asing yang memandu kenderaan tanpa mematuhi peraturan serta syarat yang ditetapkan.
“JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti sedemikian disaran menyalurkannya kepada pihak jabatan untuk tindakan lanjut,” katanya.





