ULASAN l Saya membaca tulisan Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid berhubung perkara di atas dengan penuh kehairanan. Namun, sebagai pihak yang tidak terlibat dalam pilihan raya tersebut tetapi tetap ingin memberi pandangan mengenainya, mungkin kekeliruannya boleh dimaafkan.
Mungkin juga beliau mahu mengambil kesempatan menyerang PH setelah PH kalah di Negeri Sembilan supaya tidak merasa pihaknya ketinggalan.
Perpatah Inggeris berbunyi “kick your opponent while he is down" atau sepak lawan kamu semasa dia tersungkur. Kalau itulah kehendaknya maka ketahuilah itu sikap yang bacul. Sikap yang berani adalah untuk Pejuang masuk sekali bertanding tempoh hari.
Akan tetapi, isunya adalah tuduhan yang tidak berasas yang dibuatnya terhadap PH, bukan isu kebaculan atau keberanian Pejuang. Setahu saya tidak pernah PH menuduh “rakyat perkauman”.

Apa yang PH sebut adalah pihak BN-PN yang bertanding atas slogan “Perpaduan Melayu” memperalatkan sentimen kaum untuk mendapat undi rakyat, khususnya undi orang Melayu.
Ini tidak bermakna rakyat perkauman kerana “perkauman” atau racist membawa erti membenci dan memandang rendah kaum lain. Sebaliknya dalam kes Negeri Sembilan ia hanya sentimen sayang kepada kaum sendiri dan ianya tidak salah, tetapi I mudah diperalatkan dengan disuntik kerisauan kedudukan kaum sedang terancam.
Untuk makluman Rafique, gabungan BN-PN digelar gabungan “Perpaduan Melayu” bukan “Gabungan membantah kos kehidupan tinggi”; dari nama itu sendiri sudah diperlihatkan bagaimana sentimen sayangkan kaum ingin diperalatkan.

Secara umumnya orang Melayu akan tertarik dengan konsep perpaduan Melayu kerana sememangnya politik Melayu berpecah dari awal sejak Biro Agama Umno keluar Umno membentuk PAS.
Dengan perkembangan terbaharu ada juga orang Melayu yang mengharapkan PAS akan kembali sebagai Biro Agama Umno dan PAS sendiri dibubarkan.
Ini tidak mustahil kerana sudah semakin hilang perbezaan antara PAS dan Umno. Satu memperjuangkan “Melayu Islam” dan satu lagi “Islam Melayu”. Dengan adanya PAS sebagai Biro Agama Umno, sudah pasti Umno akan mendapat manfaat dari ijtihad siyasiyyah sepertimana PAS sering lakukan.
Sogokan boleh difatwakan sebagai “sadeqah” dan bayaran dividen tinggi walaupun tiada keuntungan boleh difatwakan harus demi kepentingan Islam.
Dengan ini juga politik takfiri akan ditamatkan dan BN dengan seluruh keanggotaannya disucikan. Ini adalah kerana akhirnya difahami bahawa soal pilihan politik adalah khilaf.

Walaupun perpaduan ini disambut baik oleh orang Melayu secara keseluruhannya, bukan semua Melayu bersama gabungan ini dan bukan semua Melayu setuju dengan diperalatkan sentimen kaum sedemikian.
Sepertimana Melayu yang bersama PH, kami lebih mementingkan isi daripada kulit. Dalam artikata lain, yang penting bukan perpaduan Melayu atas sebab Melayu semata-mata. Sama penting halatuju yang ingin dibawa dan prestasi yang mampu ditunjukkan.
Perpaduan hendaklah atas asas dan isi yang mantap, ia itu halatuju dan nilai² politik yang ingin diperjuangkan dan bukan sekadar “sama-sama Melayu".
Inilah sebab mengapa dalam PRN Negeri Sembilan PH terus membentangkan prestasi cemerlang kerajaan Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Aminuddin Harun dalam kempennya. Dan turut dibentangkan manifesto yang merupakan kesinambungan kepada kecemerlangan ini.

Malangnya isu yang dibawa PH tidak menjadi tajuk perbincangan. Sebaliknya yang menjadi tajuk perbincangan adalah bagaimana kepentingan Melayu dan Islam terancam, DAP menguasai MB dan Yang di-Pertuan Besar dan bagaimana Melayu wajib bersatu untuk menyelamatkan keadaan.
Isu prestasi dan manifesto langsung tidak dibincang. Isu kos sara hidup dan janji² yang tidak tertunai turut tidak dibincang tidak seperti dakwaan Rafique. Kalau ada disebut pun hanya oleh segelintir.
Itulah masalahnya bila yang tidak terlibat ingin juga memberi pandangan demi mengambil “cheap shot" terhadap PH. Sedangkan cogan-kata gabungan “Perpaduan Melayu" sudah jelas tujuannya.
Saya sebenarnya faham mengapa sentimen kaum terpaksa diguna oleh gabungan BN-PN. Ini adalah kerana mereka tiada apa-apa yang mampu ditawarkan kepada rakyat. Nak bandingkan prestasi, mereka jauh ketinggalan.
Malahan berbanding Terengganu yang di bawah PAS sekalipun, walaupun ada telaga minyak di sana, Terengganu jauh ketinggalan dari sudut prestasi dan pencapaian.

Dalam isu manifesto, manifesto mereka pun kurang menyerlah. Ini adalah kerana politik mereka bukan mengenai prestasi, pencapaian dan peranancangan. Ia mengenai sentimen dan persepsi.
Akhirnya dah menang, berbalah pula siapa nak jadi MB, bukan apa nak ditawarkan kepada rakyat.
Dalam soal pilihan rakyat, sememangnya itu hak rakyat untuk membuat pilihan. Tiada mana-mana pihak boleh menghalang. Akan tetapi kita boleh berbeza pandangan dan tidak semesti kita mengatakan pilihan itu semestinya yang terbaik.
Ini adalah kerana pilihan adalah isu khilaf dan oleh itu kita boleh berbeza pandangan.
Sebagai contoh, untuk DUN Paroi, walaupun calon PH, Ahmad Shahir Mohd Shah tak dipilih saya tetap akan mengatakan beliau pilihan terbaik dan tidak salah saya katakan begitu.

Saya nilai atas sebab beliau calon PH yang mana PH telah menunjukkan prestasi yang terbaik, bukan atas sebab dia Melayu, walaupun sememangnya dia Melayu.
Begitu juga tidak salah kalau saya mengatakan rakyat Amerika tersilap memilih Trump. Itu pandangan saya walaupun saya menerima hakikat bahawa Donald Trump telah dipilih dan itu hak rakyat Amerika.
Tetapi pada masa sama memang kita akui pihak PH ada kekurangan. Kita tidak sempurna. Jentera kita kurang, wang kita kurang, tenaga kita kurang, tetapi kita kalah bukan kerana kekurangan ini. BN-PN pun ada kekurangan.
Kita kalah kerana sentimen kaum dan agama diperalatkan BN-PN dan rakyat kita mudah terpengaruh dengan sentimen-sentimen ini.
KHALID SAMAD ialah bekas menteri Wilayah Persekutuan dan Bekas Ahli Parlimen Shah Alam. Dia juga adalah pengarah komunikasi Amanah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





