PAS Pahang tidak bercadang untuk menghentikan siri jelajah 'PN Teraju Pahang' yang dimulakan sejak Sept 2022.
Walaupun berlaku persefahaman antara PAS-PN dan BN ketika pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini, namun kerjasama antara kedua-dua gabungan parti itu belum dimuktamadkan di Pahang.
Justeru, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, pihaknya akan meneruskan jelajah berkenaan seperti biasa.
"Kita akan teruskan seperti mana dirancang sehingga ada sebarang perubahan atau kenyataan rasmi atau pun arahan daripada peringkat Pusat.
"Di peringkat negeri, kita teruskan sebab Jelajah Teraju Pahang ini kita menziarahi orang ramai, ia tidak ada isu.
"Kita akan meneruskan dengan hasrat untuk menyeru kepada penyatuan ummah, itu yang kita buat sebenarnya.
“Kita jumpa seberapa ramai mungkin, kita ajak supaya umat Islam, orang Melayu bersatu di negeri Pahang," katanya menerusi satu pesanan suara yang dikongsi dengan media di Kuantan, hari ini.
Andansura yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Beserah menjelaskan, belum ada perbincangan untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak - termasuk BN - di Pahang bagi tujuan pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya, PAS Pahang masih menunggu arahan atau sebarang usaha ke arah itu daripada pimpinan Pusat.
"Kita tunggulah, negeri hanya tunggu daripada pihak Pusat apa-apa arahan seterusnya, susulan apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan dan kita (PAS Pahang) terbuka bila menyebut penyatuan ummah, kita akan teruskan usaha penyatuan ini," katanya.
Dia turut memaklumkan pihaknya belum dapat memutuskan jumlah kerusi bakal ditandingi dalam PRU ke-16 (PRU16) , jika kerjasama antara PAS-BN menjadi kenyataan di Pahang.
"Mengenai jumlah kerusi, bertanding berapa kerusi PRU16, kita kena tunggulah arahan seterusnya, atau pun sebarang percaturan baru daripada peringkat Pusat," jelasnya.
Sebelum ini, PAS Pahang meletakkan sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya 25 kerusi DUN dalam PRU16 bagi mengambil alih kerajaan Pahang.
PAS Pahang ketika ini memiliki 15 kerusi DUN selepas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu yang mempunyai dua kerusi DUN - Lepar dan Kuala Sentul.
Dalam pilihan raya umum 2022, berlaku pertembungan tiga penjuru antara PN, PN (PAS dan Bersatu sebelum ini) dan PH.
BN dan PN masing-masing mendapat 17 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PH pula dengan lapan kerusi.
BN bagaimanapun membentuk kerajaan bersama PH, susulan perkembangan sama di peringkat pusat.
Namun keadaan mungkin berubah dalam pilihan raya selepas ini susulan kerjasama baru BN-PN yang dirintis di Johor dan Negeri Sembilan.





