Sesi rakaman percakapan bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung siasatan kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion akan bersambung esok.
Perkara itu disahkan Rafizi kepada pemberita di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya selepas beliau selesai keterangan selama sembilan jam hari ini.
"Esok akan bersambung, cuma akan bermula pada 2 petang," katanya.
Mengulas mengenai proses siasatan setakat ini, Ahli Parlimen Pandan itu berkata ia berkait rapat dengan fungsi tugasnya sebagai menteri sebelum ini.
Beliau berkata dokumen yang diteliti dalam siasatan terhadapnya adalah berkaitan urusan menteri yang diklasifikasikan sebagai rahsia dan berada dalam pegangan SPRM.
“Dokumen ini semua penyiasat SPRM yang ambil, bukan saya. Apa yang mereka kumpul dalam siasatan terpulang kepada mereka sama ada untuk dirujuk kepada saya atau tidak.
"Kalau saya ada dokumen, memang saya akan masuk ke dalam (dikenakan tindakan) kerana semua itu dokumen rahsia. Jadi, semua dokumen itu dalam bidang kuasa pihak penyiasat,” kata Rafizi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar mengesahkan sesi rakaman percakapan Rafizi selesai kira-kira 7 malam.
“Rakaman percakapan akan bersambung untuk hari ketiga esok yang dijangka dibuat pada sebelah petang,” katanya ketika dihubungi.
Hari ini merupakan hari kedua Rafizi dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan Arm Holdings dari United Kingdom.
Pada Sabtu lepas, Mohd Hafaz mengesahkan Rafizi dipanggil bagi dirakam keterangan untuk membantu siasatan kes terbabit yang dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan bagi mendapatkan suapan.





