29.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 3, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Antara hujah moral dan hujah ekonomi isu pesta air

    Shopee Sale

    ULASAN | Saya mengikuti dan memperhalusi pelbagai pandangan, sama ada sokongan mahupun kritikan terhadap penganjuran acara Rain Rave (pesta air) di Bukit Bintang oleh Kementerian Pelancongan.

    Pertama, saya menilai kenyataan menteri yang dilaporkan berkata: “Jangan semua program dijadikan isu politik. Kalau begitu, bagaimana mahu membangunkan ekonomi?... Mana-mana pihak yang merasakan boleh datang, silakan. Jika merasakan agama tidak mengizinkan, tidak perlu hadir.”

    Kenyataan ini memperlihatkan satu kekeliruan asas tentang maksud “politik”. Dalam konteks masyarakat terbuka, apa sahaja aktiviti awam, lebih-lebih lagi yang melibatkan perananan kerajaan, tidak dapat dipisahkan daripada wacana politik.

    Perbualan awam itulah politik dalam erti kata sebenar, ‘politik’ bukan sekadar persaingan antara parti.

    Dari sudut ekonomi, hujah yang dibawa menteri juga memerlukan penelitian yang lebih mendalam. Bukit Bintang sememangnya kawasan tumpuan pelancong sepanjang masa.

    Maka persoalannya, sejauh mana acara seperti ini benar-benar menambah nilai ekonomi, dan bukan sekadar mengisi ruang hiburan kepada pelancong yang sedia ada?

    Tanpa penilaian impak yang jelas, sama ada dari segi peningkatan perbelanjaan pelancong atau pulangan kepada negara, hujah ekonomi tersebut hanya bersifat umum dan sukar diukur keberkesanannya.

    Konsep polis moral

    Kedua, kritikan yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, menyentuh isu yang lebih dekat dengan sentimen rakyat.

    Dalam keadaan kerajaan sendiri menyeru rakyat berjimat cermat, termasuk pengurangan skala sambutan rasmi — penganjuran acara hiburan terbuka menggunakan dana awam boleh menimbulkan persoalan tentang keutamaan perbelanjaan negara. Ini bukan semata-mata soal moral, tetapi soal keutamaan dasar.

    Ketiga, apabila saya baca sindirian pemimpin DAP, Yeo Bee Yin, yang juga ahli parlimen Puchong. Dia mengkritik para pengkritik yang dianggap menjadi "polis moral" yang berlebihan hingga boleh menjejaskan sektor pelancongan Malaysia.

    Konsep polis moral ini memang biasa digunakan kepada Pak Lebai (merujuk kepada golongan agamawan PAS) sebagai perisai mempertahankan hak mereka. Namun, dalam konteks pesta air dan pelancongan ini, menunjukkan sisi hipokrasi beliau.

    MENARIK:  PRN: Kerjasama GRS-PH penting perkukuh muafakat negeri, persekutuan

    Saya berikan contoh hipokrasi kelompok Bee Yin, tak lama dulu, apabila PAS anjur perarakan guna ‘cosplay’ wira Islam di Terengganu, mereka melenting dan mendakwa PAS beraliran ekstrimis.

    Tetapi apabila acara seperti Rain Rave hatta October Fest, dia pula kata pengkritik menggunakan hujah ‘polis moral’ berlebihan.

    Dalam masa yang sama, pandangan yang dibawa oleh PAS dan Pemuda PAS menimbulkan persoalan dasar yang penting: adakah wajar kerajaan sendiri menjadi penganjur kepada acara hiburan sedemikian?

    Jika program seperti ini mempunyai permintaan dan nilai komersial, maka ruang tersebut lebih sesuai digerakkan oleh sektor swasta tanpa melibatkan dana awam.

    Tambahan pula, kecenderungan untuk meniru format acara luar seperti festival ala Songkran menimbulkan persoalan tentang arah pembangunan identiti pelancongan negara.

    Apakah kita sedang membina keunikan sendiri, atau sekadar mengejar trend global kerana takut ketinggalan?

    Kritikan ini selari dengan dasar kerajaan yang mahu semua kementerian dan rakyat, mengambil langkah berjimat cermat, perbelanjaan hanya fokus mengikut keutamaan.

    Bagi saya, hujah menteri pelancongan dan mantan menteri DAP ini, amat mengelirukan dan tidak ada sandaran.

    Dalam kerangka ini, kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada memperkukuh asas pelancongan negara dengan menonjolkan keunikan budaya, kekuatan komuniti, serta kreativiti rakyat sendiri.

    Rakyat Malaysia termasuk para content creator, telah lama menjadi duta tidak rasmi yang mempromosikan gastronomi, budaya dan destinasi tempatan secara organik dan berkesan.

    Mereka adalah duta sebenar kempen pelancongan tanpa perlu menggunakan jutaan ringit duit rakyat.


    MAHDZIR IBRAHIM ialah bekas pemimpin DAP yang kini bergiat bersama Bersatu.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah