Kumpulan muzik tersohor dari Indonesia, Ungu, bakal meraikan ulang tahun penubuhan mereka yang ke-30 menerusi konsert istimewa “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur”.
Artikel Berkaitan: Ungu Berjaya Tamatkan Konsert Sempena Ulang Tahun Ke-29, Plenary Hall Dibanjiri Lebih 2,000 Penonton
Konsert Ungu

Kumpulan yang diterajui oleh Pasha (vokal), Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bass), dan Rowman (dram) ini mula menapak dalam industri sejak Julai 1996.
Sepanjang tiga dekad beraksi, mereka telah membuktikan keutuhan jenama Ungu menerusi rangkaian karya hits yang kini menjadi memori buat jutaan peminat di nusantara.
Tema “3 Dasawarsa” yang diangkat kali ini menjadi simbolik kepada kembara panjang Ungu. Bukan sekadar konsert, tetapi sebuah arkib visual dan melodi yang merakam memori jatuh bangun mereka, membuktikan bagaimana sebuah kumpulan kecil mampu bertahan dan berkembang menjadi ikon muzik yang disegani.
Konsert ini bakal berlangsung pada 5 September 2026 di Idea Live Arena, satu tarikh yang dipersetujui bersama antara penganjur dan pihak Ungu sebagai detik terbaik untuk meraikan ulang tahun ke-30 mereka bersama peminat di Malaysia.
Malam tersebut turut akan menampilkan lima artis jemputan istimewa yang dipilih sendiri oleh Ungu dan akan diumumkan secara berperingkat.
Menurut Pengarah Konsert, En. Zairul Addry Helmy (COMs. Creative Studio), konsert ini lahir daripada keinginan untuk mengabadikan hubungan erat antara Ungu dan peminat mereka di negara ini.
Konsert ini diadakan sempena ulang tahun ke-30 Ungu, dengan objektif utama untuk meraikan peminat setia mereka di Malaysia.
Ungu akan mempersembahkan himpunan lagu-lagu terbaik mereka. Ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu dokumentasi perjalanan seni Ungu sepanjang tiga dekad dari mula sehinggalah sekarang.
Perjalanan seni Ungu bakal diceritakan dalam tiga babak besar di konsert itu nanti iaitu, “The Birth”, “The Peak”, dan “The Legacy”. Setiap segmen mewakili fasa penting kehidupan mereka, bermula daripada lagu-lagu awal yang membina nama, diikuti era kegemilangan yang luar biasa, dan diakhiri dengan pembuktian kekuatan mereka sebagai nama besar dalam industri seni.
Pengalaman istimewa

Menariknya, malam tersebut bukan sekadar nyanyian semata-mata. Pihak penganjur telah merangka sebuah pengalaman imersif yang dipenuhi elemen kejutan bagi memastikan setiap detik di atas pentas memberikan impak mendalam kepada penonton.
Ketua Pegawai Eksekutif DM Diamond Entertainment, En. KS Tan berkata, kekuatan Ungu lebih daripada sekadar muzik yang dihasilkan.
Untuk bertahan selama tiga dekad, ia bukan hanya tentang muzik, tetapi juga ketahanan mental, jatuh bangun dalam industri, serta nilai ‘brotherhood’ yang dibina sejak awal penubuhan.
Konsert ini adalah refleksi kepada keseluruhan perjalanan itu.
Untuk info, sebanyak tujuh kategori tiket akan ditawarkan, termasuk pakej eksklusif “Meet & Greet” yang memberikan peminat peluang lebih dekat bersama band ini, lengkap dengan barangan rasmi edisi terhad seperti t-shirt, lanyard, keychain dan bag tote.
Pihak penganjur berharap agar konsert ini menjadi satu pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga bermakna buat setiap peminat yang hadir.
Kami berharap konsert ini mendapat sambutan yang luar biasa, dan setiap peminat yang hadir dapat menikmati serta merasai keistimewaan malam ini sempena ulang tahun ke-30.
The post 30 Tahun Cipta Nama, Ungu Bakal Himpun Memori Perjalanan Seni Dalam Konsert 3 Dasawarsa Di Kuala Lumpur first appeared on OHBULAN!.





