Seramai 12 daripada 14 Adun Umno Negeri Sembilan didakwa menyambut baik keputusan pucuk pimpinan parti itu untuk terus kekal bersama kerajaan perpaduan di negeri terbabit.
Malah, menurut sumber, dalam satu pertemuan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis lalu, 12 Adun berkenaan jelas menolak untuk menjadi pembangkang di Negeri Sembilan.
Menurut sumber yang turut serta dalam pertemuan itu berkata, pendirian 12 Adun berkenaan adalah bercanggah dengan kenyataan Pengerusi Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias.
"Pada pertemuan itu 12 Adun berkenaan menyatakan kesediaan untuk terus bersama dengan kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan.
"Bahkan mereka mahu supaya Adun Umno dilantik sebagai exco kerajaan negeri untuk tujuan menjadi mekanisme semak dan imbang,” katanya kepada Malaysiakini.
Pada masa sama, sumber itu menegaskan, menjadi pembangkang bukanlah pilihan yang baik buat mereka kerana kedudukan tersebut akan menyukarkan Umno sendiri untuk memberikan khidmat kepada rakyat.
Tambah sumber itu lagi, dalam pertemuan tersebut juga Ahmad Zahid turut mengingatkan Adun Umno Negeri Sembilan supaya tidak memandai-mandai pergi berunding secara peribadi untuk mendapatkan tempat dalam kerajaan negeri.
Dakwa sumber terbabit, pertemuan yang berlangsung di ibu negara itu turut disertai Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, namun Jalaluddin yang juga Pengerusi Umno Negeri Sembilan merangkap Adun Pertang tidak hadir.
Seorang lagi Adun yang tiada dalam pertemuan tersebut ialah Mohamad Hassan yang juga Timbalan Presiden Umno merangkap Adun Rantau.

Semalam, Jalaluddin berkata Umno Negeri Sembilan mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" terhadap sebarang keputusan yang akan dibuat oleh pemimpin tertinggi parti bersama PH sebagai rakan kongsi dalam kerajaan mengenai kedudukan menteri besar negeri.
Bercakap kepada pemberita pada sambutan ulang tahun ke-80 Umno, dia menegaskan bahawa semua 14 wakil rakyat negeri yang dipilih parti itu sudah menarik sokongan yang sebelum ini diberikan kepada Aminuddin.
"Saya sudah menyatakan pendirian 14 Adun Negeri Sembilan bahawa kita sudah hilang keyakinan pada kepimpinan menteri besar (Aminuddin).
"Ini bermakna kita tidak lagi mengambil pendekatan mengubah pendirian ini. Ini bukan pendirian yang berkaitan kepentingan politik, berkaitan dengan kuasa, ataupun 'tebuk atap'.
“Ini berkaitan urus tadbir kerajaan yang menguruskan institusi adat dan raja di Negeri Sembilan," tegasnya.
Jalaluddin juga menegaskan bahawa Umno Negeri Sembilan tetap bersedia untuk menjadi sebahagian daripada pembangkang negeri sehingga pilihan raya negeri atau pilihan raya umum akan datang.
Sumber dalaman itu mendakwa, tiga Adun kanan mencadangkan kepada Ahmad Zahid agar jawatan exco yang dikosongkan baru-baru ini diisi semula oleh wakil Umno.
"Pada pertemuan itu ada nama Adun dicadangkan kepada presiden untuk diangkat mengisi kekosongan jawatan exco,” katanya.
Untuk rekod sebelum ini Umno mempunyai empat wakil dalam barisan exco negeri, selain seorang menjadi timbalan speaker dewan undangan negeri.





