Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan persiapan majlis pernikahan bersama tunangnya, pelakon Bella Astillah berjalan dengan baik mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
Artikel Berkaitan: Hantaran Syed Saddiq Bertemakan Masa Depan, Sedia Simpanan Tabung Haji & SSPN Untuk Kedua Anak
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Mencintai Bella Astillah Juga Kerana Kedua Anaknya Iaitu Ayden & Ara’ – Syed Saddiq
Persiapan nikah

Saddiq, 34, berkata, di sebalik kesibukan kerja masing-masing, mereka tetap komited dalam memastikan segala perancangan ke arah hari bahagia itu berjalan lancar.
Sama seperti proses persiapan pertunangan, perkara ini lazimnya dibincangkan bersama keluarga. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik seperti yang telah saya kongsikan sebelum ini.
Apa yang paling penting bagi saya adalah memastikan Bella dan keluarganya berasa gembira. Dia merupakan tunang saya dan saya mahu memastikan segala perancangan berjalan lancar.
Kami juga mempunyai komitmen kerja masing-masing, saya di Parlimen dan kawasan Muar, manakala Bella pula sering bergerak sana sini.
Namun di sebalik jadual yang padat, kami tetap meneruskan perancangan untuk majlis akad nikah dan perkahwinan yang dijangka berlangsung insya-Allah sebelum akhir tahun.
Saddiq berkata demikian ketika ditemui pada majlis Anugerah Aspirasi PTTI 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Ahad.
Dalam pada itu, ditanya mengenai tarikh majlis akad nikah, Saddiq memaklumkan perkara tersebut masih dirahsiakan buat masa ini dan hanya akan dikongsikan kepada umum apabila tiba waktu yang sesuai.
Lazimnya perkara ini dibincangkan dalam kalangan keluarga terlebih dahulu. Bila tiba masanya, jangan risau, pertunangan dan pernikahan ini bukan untuk disembunyikan, kami akan kongsikan berita gembira itu nanti.
Tanggungjawab

Berkongsi lanjut mengenai persiapan diri menjelang alam perkahwinan, Saddiq mengakui mereka kini dalam fasa menyesuaikan diri dengan komitmen masing-masing.
Saya rasa apabila kedua-duanya sibuk bekerja, kadangkala itu satu perkara yang baik kerana dengan komitmen masing-masing, kita masih mencari jalan tengah untuk mendedikasikan masa kepada keluarga.
Ini juga satu ujian supaya pada masa akan datang, seperti yang saya kongsikan, saya mahu menjadi bakal suami yang baik. Jika tunang saya memilih untuk terus berkerjaya sebagai penyanyi, pelakon atau duta jenama, yang pastinya jadualnya juga padat, keluarga tetap perlu dijaga.
Kita perlu berkongsi tanggungjawab, termasuk urusan rumah tangga dan juga membesarkan anak-anak kelak. Semua ini adalah perkara yang sedang kami pelajari sedikit demi sedikit sepanjang melalui proses menuju perkahwinan ini.
Imbas kembali, Saddiq dan Bella selamat mengikat tali pertunangan pada 28 Mac 2026.
Terdahulu, Saddiq telah hadir merasmikan Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2026 yang berlangsung pagi tadi, selain turut menyampaikan ucapan berunsur inspirasi kepada para pelajar serta ibu bapa yang hadir.
Acara berprestij itu turut diserikan dengan kehadiran tokoh dan selebriti tanah air seperti Azizan Osman, Awie, M. Nasir, AC Mizal, MK K-Clique, Iman Troye, Alyssa Dezek, Hael Husaini, Bella Astillah serta Zaki Yamani.
Dalam perkembangan sama, PTTI Group Sdn Bhd sekali lagi melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya melahirkan seramai 534 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang ‘Straight A’ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Kejayaan tersebut sekali gus melayakkan PTTI menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) buat kali ketiga, selepas kejayaan sama yang dicapai pada tahun 2022 dan 2024.
The post Syed Saddiq Maklum Persiapan Nikah Berjalan Lancar, Tarikh Ijab Kabul Masih Rahsia – ‘Sebelum Akhir Tahun’ first appeared on OHBULAN!.





