Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata rundingan dengan Iran untuk menamatkan peranang mungkin disambung semula tidak lama lagi dan berakhir dengan satu perjanjian, sambil meminta dunia menantikan “dua hari yang menakjubkan”, ketika pasukan AS yang melaksanakan sekatan maritim menghalang kapal-kapal daripada meninggalkan pelabuhan Iran.
Reuters melaporkan bahawa ketika terdapat kemungkinan pegawai AS dan Iran kembali ke Pakistan untuk rundingan lanjut, Naib Presiden JD Vance yang mengetuai rundingan yang berakhir pada Ahad tanpa sebarang kemajuan berkata beliau berasa positif mengenai perkembangan semasa.
“Saya fikir anda akan menyaksikan dua hari yang menakjubkan akan datang,” kata Trump kepada wartawan ABC News Jonathan Karl, sambil menambah bahawa beliau tidak menjangka perlu melanjutkan gencatan senjata dua minggu yang berakhir pada 21 April.
“Ia boleh berakhir dalam apa jua keadaan, tetapi saya fikir perjanjian lebih baik kerana mereka boleh membina semula,” kata Trump, menurut hantaran Karl di platform X.

“Mereka benar-benar mempunyai rejim yang berbeza sekarang. Apa pun keadaannya, kita telah menyingkirkan golongan radikal.”
Pegawai dari Pakistan, Iran dan beberapa negara Teluk turut memaklumkan bahawa pasukan perunding dari AS dan Iran mungkin kembali ke Islamabad lewat minggu ini.
Rundingan hujung minggu lalu berakhir tanpa perjanjian untuk menamatkan peranang yang tercetus pada 28 Feb susulan serangan AS-Israel ke atas Iran, yang mencetuskan serangan balas Iran terhadap negara jirannya di Teluk serta menghidupkan semula konflik selari antara Israel dan Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan.
Keyakinan Trump turut membantu meningkatkan pasaran saham global dengan jangkaan rekod baharu, manakala harga penanda aras minyak yang sebelum ini menurun pada Selasa dan awal dagangan Rabu meningkat kepada sekitar US$96 setong selepas tentera AS memaklumkan sekatan yang dikenakan telah menghentikan sepenuhnya perdagangan keluar masuk Iran melalui laut.

Lebih banyak kapal berpatah balik akibat sekatan AS, termasuk kapal tangki milik China yang dikenakan sekatan AS, Rich Starry, yang berpatah balik menuju ke Selat Hormuz pada Rabu selepas keluar dari Teluk Parsi.
Terdahulu, tentera AS memaklumkan bahawa ia telah memintas lapan kapal tangki minyak berkaitan Iran sejak sekatan bermula pada Isnin, menurut Wall Street Journal. Sebuah kapal pemusnah AS turut menghentikan dua kapal tangki minyak yang cuba meninggalkan pelabuhan Chabahar di Iran di Teluk Oman pada Selasa, kata seorang pegawai AS.
Agensi berita separa rasmi Iran, Mehr melaporkan bahawa Iran akan menggunakan pelabuhan alternatif selain di pesisir selatan negara itu bagi mengatasi sekatan AS serta meningkatkan kapasiti import di pelbagai wilayah negara berkenaan.
Kembali Ke Islamabad
Trump ketika bercakap kepada New York Post pada Selasa berkata para perundingnya berkemungkinan kembali menyambung rundingan, sebahagian besarnya hasil “usaha cemerlang” Ketua Tentera Pakistan, Fil Marsyal Asim Munir dalam membantu meredakan rundingan itu.
Kemudian pada Selasa, dalam satu acara di Georgia, Vance berkata Trump mahu mencapai satu “perjanjian besar” dengan Iran namun masih terdapat tahap ketidakpercayaan yang tinggi antara kedua-dua negara.
Aspirasi nuklear Iran menjadi antara isu utama yang menghalang kemajuan rundingan hujung minggu lalu. AS mencadangkan penggantungan selama 20 tahun terhadap semua aktiviti nuklear Iran, manakala Tehran mencadangkan tempoh penggantungan antara tiga hingga lima tahun, menurut sumber yang mengetahui cadangan berkenaan.
Ketika berucap di Seoul, Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi berkata tempoh sebarang moratorium terhadap pengayaan uranium Iran merupakan keputusan politik dan Tehran berkemungkinan menerima kompromi sebagai langkah membina keyakinan.
AS turut menekan supaya semua bahan nuklear yang telah diperkaya dipindahkan keluar dari Iran, manakala Tehran menuntut sekatan antarabangsa terhadapnya ditarik balik.
Seorang sumber yang terlibat dalam rundingan di Pakistan berkata rundingan tidak rasmi sejak hujung minggu lalu telah mencapai kemajuan dalam merapatkan jurang perbezaan, sekali gus membawa kedua-dua pihak lebih hampir kepada satu perjanjian yang boleh dibentangkan dalam pusingan rundingan baharu.
Bagaimanapun, usaha damai menjadi lebih rumit apabila Israel terus melancarkan serangan ke atas Lubnan dengan menyasarkan Hizbullah yang disokong Iran. Israel dan AS menyatakan kempen itu tidak termasuk dalam skop gencatan senjata, manakala Iran menegaskan sebaliknya.
Kesan Perang
Perang itu menyebabkan Iran menutup secara efektif Selat Hormuz - laluan penting bagi penghantaran minyak mentah dan gas global - kepada kapal selain miliknya sendiri, sekali gus mengurangkan eksport dari rantau Teluk dengan ketara, khususnya ke Asia dan Eropah, serta memaksa pengimport tenaga mencari sumber alternatif.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Selasa menurunkan unjuran pertumbuhan global susulan lonjakan harga tenaga akibat konflik itu, sambil memberi amaran bahawa senario terburuk boleh menolak ekonomi dunia ke ambang kemelesetan.
Pasaran minyak juga berdepan risiko kehilangan bekalan tambahan apabila AS tidak merancang memperbaharui pengecualian sekatan selama 30 hari terhadap minyak Iran di laut yang tamat minggu ini, menurut dua pegawai AS, selain membiarkan pengecualian serupa terhadap minyak Rusia tamat hujung minggu lalu.
Dianggarkan kira-kira 5,000 orang terbunuh dalam pertempuran itu, termasuk sekitar 3,000 di Iran dan 2,000 di Lubnan.
Gabenor wilayah Tehran di Iran berkata ramai daripada mereka yang terkorban terdiri daripada pelajar, wanita, guru dan pensyarah universiti. Kira-kira 40,000 rumah di wilayah itu rosak, selain sekolah, klinik dan perkhidmatan kecemasan turut menjadi sasaran serangan, menurut laporan media kerajaan pada Rabu.





