Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan kes kehilangan pekerjaan di Selangor dan Kuala Lumpur yang disifatkan sebagai isyarat krisis yang tidak boleh dipandang ringan.
Menurutnya, walaupun terdapat penurunan angka keseluruhan berbanding bulan sebelumnya, situasi sebenar masih membimbangkan kerana melibatkan ribuan keluarga yang terjejas.
“Di sebalik statistik yang kelihatan menurun, hakikatnya ribuan keluarga masih berdepan kehilangan punca pendapatan, tekanan kos sara hidup, komitmen hutang, sewa rumah, yuran pendidikan anak-anak dan ketidaktentuan masa depan.
“Bagi rakyat marhaen, kehilangan satu pekerjaan bukan sekadar angka dalam laporan, tetapi musibah yang menggoncang seluruh institusi keluarga,” tambahnya.

Kelmarin, dilaporkan Selangor dan Kuala Lumpur terus menanggung beban kehilangan pekerjaan pada Mac, menduduki tempat teratas dalam senarai kes kehilangan pekerjaan (LOE), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Memetik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), HLIB berkata Selangor menyumbang 29.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes LOE, diikuti Kuala Lumpur (25.6 peratus), walaupun kadar pengangguran nasional kekal stabil.
Malaysia merekodkan 5,900 kehilangan pekerjaan pada Mac, turun 21.3 peratus daripada 7,500 pada Februari, dengan pemberhentian tertumpu dalam sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit, serta maklumat dan komunikasi.
Pengurangan dalam kehilangan pekerjaan berlaku seiring dengan pemulihan permintaan tenaga kerja, dengan jumlah kekosongan jawatan meningkat kepada 107,000 pada Mac daripada 96,500 sebelum ini, mencerminkan daya tahan asas dalam ekonomi domestik, kata HLIB dalam satu nota.
Pada peringkat nasional, firma itu berkata pasaran buruh Malaysia kekal stabil pada Februari, dengan kadar pengangguran bertahan pada 2.9 peratus untuk bulan keempat berturut-turut, lapor NST.
Dalam kenyataan hari ini, Mohamed Sukri menegaskan bahawa kerajaan Selangor dan pusat perlu mengambil tindakan lebih tegas dan tersusun memandangkan Selangor merupakan nadi ekonomi negara.
Dia mencadangkan beberapa langkah segera termasuk memperkukuh program padanan pekerjaan, latihan semula pekerja serta pemberian insentif kepada industri.
Dia juga mengingatkan bahawa pembangunan negeri tidak seharusnya hanya diukur melalui pelaburan dan projek berskala besar semata-mata.
“Kita tidak mahu Selangor hanya gah pada angka pelaburan dan projek mega, tetapi gagal menjamin kestabilan pekerjaan rakyat biasa.
“Pembangunan yang sebenar bukan hanya diukur pada bangunan tinggi atau angka pelaburan berbilion ringgit, tetapi pada sejauh mana rakyat dapat hidup dengan pekerjaan yang stabil, pendapatan yang bermaruah dan masa depan yang lebih terjamin.”
Dia menggesa kerajaan membentangkan pelan penyelesaian yang jelas dan berkesan.





