Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Isnin bahawa Iran mahu membuat perjanjian dan dia tidak akan bersetuju membenarkan Tehran memiliki senjata nuklear.
Katanya, rundingan menemui jalan buntu berkaitan isu nuklear dan "sekatan" kapal yang transit di Selat Hormuz sambil mendakwa Iran ada "menghubungi pagi ini" dan "mereka ingin mengusahakan satu perjanjian," katanya yang dipetik Reuters.
"Iran tidak akan mempunyai senjata nuklear," kata Trump kepada wartawan di White House. "Kita tidak boleh membiarkan sesebuah negara membuli atau memeras ugut dunia."
Sementara itu, wartawan Fox News, Maria Bartiromo, dalam satu hantaran di Instagram berkata, Trump mengesahkan bahawa operasi ketenteraan AS terhadap Iran telah berakhir.

Dalam satu temu bual bersama Fox News, Trump turut mengumumkan bahawa pusingan kedua rundingan akan diadakan dalam beberapa hari akan datang.
Menurut Bartiromo, ketika menjawab soalan sama ada peranang di Iran telah berakhir, Trump berkata bahawa ia sememangnya sudah berakhir.
"Saya baru sahaja bercakap dengan Presiden. Dia banyak bercakap mengenai ekonomi, peranang dengan Iran dan NATO. Saya akan petik satu kenyataannya.
"Saya tanya dia: 'Kamu selalu cakap mengenai peranang ini seolah-olah ia sudah berlalu. Adakah ia sudah berakhir?' Dia jawab: 'Sudah berakhir,'" kata wartawan itu.
Bartiromo menambah temu bual penuh bersama Trump akan diterbitkan pada Rabu.

Sebelum ini, Trump dilaporkan berkata pusingan kedua rundingan dengan Iran “boleh berlangsung dalam tempoh dua hari akan datang” selepas kegagalan rundingan hujung minggu lalu yang mendorong Washington mengenakan sekatan ke atas pelabuhan Iran.
Pegawai dari Pakistan, Iran dan Teluk juga berkata pasukan perunding dari AS dan Iran boleh kembali ke Pakistan lewat minggu ini, walaupun satu sumber kanan Iran berkata tiada tarikh ditetapkan.
Trump dipetik oleh New York Post sebagai berkata: "Kamu patut berada di sana, sebenarnya, kerana sesuatu mungkin berlaku dalam tempoh dua hari akan datang, dan kami lebih cenderung untuk ke sana."
Lewat Selasa di satu acara di Georgia, Naib Presiden AS JD Vance berkata Trump mahu membuat "perjanjian besar" dengan Iran tetapi terdapat banyak ketidakpercayaan antara kedua-dua negara.

"Kamu tidak akan menyelesaikan masalah itu dalam sekelip mata," kata Vance.
Ekonomi dunia di ambang meleset
Sementara itu, Reuters melaporkan walaupun sekatan AS mencetuskan kemarahan, namun tanda-tanda bahawa penglibatan diplomatik mungkin berterusan membantu menenangkan pasaran minyak, mendorong harga penanda aras di bawah $100 setong.
Iran secara berkesan menutup Selat Hormuz, laluan air global yang penting untuk pengangkutan minyak dan gas, sejak peranang bermula pada 28 Februari. Kira-kira 5,000 orang mati dalam permusuhan itu.
Rundingan di Islamabad hujung minggu lalu tidak menghasilkan perjanjian, sebaliknya menimbulkan keraguan terhadap kelangsungan gencatan senjata dua minggu yang masih berbaki seminggu.

Cita-cita nuklear Iran merupakan titik buntu utama. AS mencadangkan penggantungan 20 tahun semua aktiviti nuklear oleh Iran, manakala Tehran mencadangkan penghentian selama tiga hingga lima tahun, menurut individu yang biasa dengan cadangan itu. AS juga mendesak supaya sebarang bahan nuklear yang diperkaya dikeluarkan dari Iran.
Satu sumber yang terlibat dalam rundingan di Pakistan berkata rundingan saluran belakang sejak hujung minggu menghasilkan kemajuan dalam merapatkan jurang itu, membawa kedua-dua pihak lebih dekat kepada perjanjian yang boleh dikemukakan pada pusingan rundingan baharu.
Tidak jelas jenis perjanjian nuklear yang boleh dipersetujui dengan cepat oleh AS dan Iran, memandangkan kerumitan perjanjian nuklear 2015 antara Tehran dan kuasa dunia yang ditarik balik oleh Trump pada 2018, serta kemungkinan keperluan untuk pemantauan dan pengesahan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.
Iran juga mahu sekatan antarabangsa ditarik balik, sesuatu yang AS tidak boleh janjikan secara bersendirian.





