Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, mendesak pihak polis untuk mengesahkan sama ada mereka telah menahan atau tidak seorang wanita yang didakwa mengkritik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Hassan menyatakan mengikut Akta Polis, semua tindakan pasukan keselamatan itu mestilah telus dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.
"Tidak ada tindakan rahsia dalam operasi polis apabila seseorang awam ditahan. Tindakan polis dalam hal jenayah mesti mematuhi Kanun Acara Jenayah.
"Malaysia sebuah negara demokrasi, bukannya negara polis," katanya.
Kenyataan Hassan itu hadir ketika polis yang masih berdiam diri selepas lebih 24 jam media membangkitkan laporan mengenai penahanan seorang pengguna TikTok – dikenali sebagai Jorjet Myla – mengikut Akta Hasutan.
Penahanan tersebut dipercayai terkait video kecamannya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Menurut Hassan, polis wajib mendedahkan kepada orang ramai dan pihak media sama ada Myla benar-benar telah ditahan atau sebaliknya.
Semalam, media sosial dibanjiri hantaran yang mendakwa Myla ditahan dan direman selama tiga hari.
Hantaran tersebut mendakwa penahanan dibuat berikutan video TikTok yang memaparkan wanita terbabit menuduh Anwar sering menyalahkan pihak lain atas apa yang dianggapnya sebagai ketidakmampuan dan prestasi hambar perdana menteri.
Myla dalam video yang tular mendakwa Anwar masih berkelakuan seperti seorang pemimpin pembangkang, dan mencadangkan agar Presiden PKR itu mungkin lebih selesa jika tidak berada dalam kerajaan.
Malaysiakini telah berulang kali meminta pengesahan daripada pihak polis mengenai penahanan tersebut dan butiran lain sejak pagi semalam.
Sehingga kini belum dapat dipastikan fakta kes berikutan ketiadaan pengesahan dari pihak berkuasa termasuk sama ada Myla ditahan disebabkan video tersebut atau atas alasan lain.
Myla juga dikatakan tidak diwakili peguam semasa prosiding reman dijalankan.
[Baca berita asal]





